Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tak faham Bahasa Malaysia bongkar rahsia sindiket Mykad palsu

Gambar Hiasan

MELANTIK ejen dan mengenakan bayaran RM50,000 hingga RM100,000 kepada mana-mana warga asing mendapatkan MyKad dan menjadikan mereka warganegara Malaysia.

Itu modus operandi seorang pegawai kanan JPN Pulau Pinang berumur 40-an yang bersekongkol dengan seorang ejen atau runner yang ditugaskan mencari pelanggan berminat mendapatkan MyKad.



Namun, sebaik berjaya menjual enam MyKad, kegiatan pegawai kanan terbabit dibongkar selepas diberkas polis bersama seorang lelaki yang juga runner serta seorang wanita warga asing yang membeli MyKad diluluskan pegawai berkenaan.

Menurut sumber, kegiatan itu terbongkar selepas seorang warga China yang membeli MyKad berkenaan tampil di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk membuat pasport, minggu lalu.

“Wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun itu datang ke imigresen negeri untuk membuat pasport Malaysia dengan mengemukakan MyKad miliknya yang sah.

“Namun, status kewarganegaraan wanita itu diragui selepas berlaku masalah komunikasi dengan pegawai bertugas.

“Wanita terbabit gagal menjawab semua soalan yang diajukan di dalam bahasa Melayu, sebaliknya hanya tersenyum,” katanya.

Katannya, pegawai Imigresen yang curiga dengan kejadian itu kemudiannya membuat laporan polis.

Sumber itu berkata, susulan laporan itu, wanita warga China terbabit ditahan polis sebelum satu pasukan khas terdiri daripada Cawangan Khas, Unit Siasatan Jenayah Terancang (D14) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang ditubuhkan bagi mengesan kegiatan pegawai kanan berkenaan.

“Hasil intipan dan siasatan, pasukan khas berkenaan menahan pegawai kanan JPN terbabit di pejabatnya sebelum menahan seorang lagi lelaki dipercayai ejen atau runner kepada pegawai kanan terbabit manakala wanita asing berkenaan ditahan lebih awal,” katanya.





Menjelaskan lanjut, sumber itu berkata, modus operandi sindiket menggunakan ejen yang akan membawa butiran pelanggan untuk diproses kepada pegawai kanan berkenaan selepas menerima bayaran.

“Semua urusan tunai. Satu MyKad dijual antara RM50,000 hingga RM100,000,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JPN berkata, pihaknya menunggu siasatan penuh dijalankan polis sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penahanan pegawai kanan di agensi berkenaan.

Dakwa pegawai kanan JPN Pulau Pinang

Seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen 2 Georgetown pagi ini hari ini berhubung kes penjualan MyKad kepada warga asing di negeri ini.

Sumber Pejabat Pendakwaraya negeri berkata, tertuduh yang juga Penolong Pengarah Bahagian Kad Pengenalan, JPN Pulau Pinang (JPN) berusia 40-an berkenaan dijadualkan dituduh hari ini.





Menurutnya, suspek ditahan di JPN Pulau Pinang minggu lalu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dalam operasi khas minggu lalu, suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat Jabatan Imigresen negeri (JIM) mengenai wanita warga China yang memiliki MyKad yang sah cuba memohon pasport Malaysia.

Sindiket yang turut melibatkan pegawai JPN itu dipercayai menerima antara RM100,000 hingga RM600,000 daripada warga asing. Polis menahan 20 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan (MyKad) secara penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata suspek yang ditangkap di Pulau Pinang pada 19 Ogos lalu terdiri daripada 17 warga tempatan, dua warga China dan seorang warga India.”Kesemua individu berumur antara 32 sehingga 70 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Individu-individu ini meliputi ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia ‘fraud’,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai jenis barangan termasuk 38 unit telefon bimbit, 34 pasport, lima salinan sijil kelahiran, 58 salinan pasport dan wang tunai.

Beliau berkata siasatan mendedahkan modus operandi di mana ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan dan kemudian menghubungi individu yang bertugas di JPN Pulau Pinang.Huzir berkata, sindiket itu dipercayai menerima antara RM100,000 hingga RM600,000 daripada warga asing dan siasatan sedang dijalankan untuk menangkap anggota sindiket lain.Kesemua suspek ditahan reman selama 28 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4 (5) Akta Sosma 2012.



(Visited 119 times, 1 visits today)

Comments

comments