Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Penyokong Malaysia cedera dan patah tangan, Menteri Sukan Indonesia mohon maaf

JAKARTA: Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi meminta maaf kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berikutan rusuhan penyokong malam tadi.


Imam juga mahu penyokong Indonesia yang merusuh dalam perlawanan di Stadium Utama Bung Karno itu akan dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 malam tadi, Malaysia menewaskan tuan rumah 3-2.

Bagaimanapun, perlawanan itu dicemari dengan aksi ganas penyokong tuan rumah yang menyerang penyokong Malaysia menyebabkan beberapa penyokong cedera.

“Kehadiran saya untuk menyampaikan permohonan maaf secara langsung atas nama rakyat Indonesia dan juga pemerintah kepada menteri Syed Saddiq atas kekacauan penyokong yang kita lihat bersama,” kata Imam yang dipetik CNN Indonesia.

Imam juga berharap persahabatan antara kedua-dua negara yang sudah terjalin sejak sekian lama tetap utuh.

“Persahabatan Indonesia-Malaysia tidak boleh renggang kerana bola sepak dan sudah pasti kami akan terus menjaga agar hubungan ini tetap baik.





“Penyokong yang melakukan rusuhan dan serangan ini harus dikenakan tindakan oleh pihak polis,” katanya.

Terdahulu Insiden keganasan penyokong Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno mengakibatkan beberapa penyokong Malaysia terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan.

Menurut laporan Berita Harian Online, seorang penyokong dikenali sebagai Izhar Atan patah tangan dipercayai akibat terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dari serangan penyokong tuan rumah dan ketika ini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Jakarta.

Manakala seorang lagi penyokong cedera di kepala dan belakang akibat terkena objek yang dibaling penyokong Indonesia dan menerima rawatan pesakit luar.

Akhbar Harian Metro Online pula melaporkan kira-kira 400 penyokong negara yang diserang dengan balingan botol, bom asap serta ditumbuk dalam insiden malang berkenaan hanya dibenarkan keluar stadium sekitar jam 12.45 malam selepas keadaan di sekitar Bung Karno disahkan selamat.

Malah buat kali ketiga dalam sejarah, barisan pemain dan pegawai pasukan terpaksa keluar dari stadium dengan menaiki baraccuda akibat kebimbangan terhadap keselamatan mereka.






Sementara itu, salah seorang penyokong, Iskandar Kamal berkata, dia dan penyokong yang lain berdepan detik mencemaskan sehingga memaksa mereka berlari masuk ke bawah stadium untuk menyelamatkan diri.

Katanya, dia amat kecewa kawalan keselamatan pihak berkuasa Indonesia yang sepatutnya lebih peka dan bersedia dengan tindakan penyokong mereka.

“Patutnya keselamatan kena lagi cekap untuk menangani masalah ini. Kepala saya sedikit cedera sebab terkena botol air yang masih penuh dan penutup botol itu betul-betul kena dekat kepala saya,” katanya ketika ditemui dalam terowong Stadium Gelora Bung Karno.

Manakala bagi penyokong wanita, Aida Fasha Mutalib, dia merasakan kehadiran ribuan pihak polis dan tentera Indonesia langsung tidak membantu penyokong Harimau Malaya ketika insiden itu.

“Masa itu memang terkejut (balingan botol dan bom asap) tapi memang dah jangka mereka akan macam ini sebab selalu berlaku di sini. Rasanya askar mereka tak main peranan, seolah buat tak tahu dan tak jaga kami,” katanya yang berasal dari Johor.



(Visited 392 times, 1 visits today)

Comments

comments