Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Mamat dibawa ke ibu negara, tumpu latihan konsert

KUALA LUMPUR: Bekas vokalis Exists, Mamat, yang dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis, petang tadi, atas kesalahan dadah, akan terus dibawa ke ibu negara oleh penganjur konsert Reunion Exists, Shiraz Projects.



Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, yang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin memberikan tumpuan pada latihan dan persiapan konsert gabungan semula kumpulan terbabit di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 September ini.

“Alhamdulillah, Mamat berada dalam keadaan baik. Saya belum sempat berbual panjang dengannya. Kami akan berangkat ke Kuala Lumpur, petang ini juga,” kata Shirazdeen dalam kenyataan dikirimkan kepada BH Online, sebentar tadi.

Selaku penganjur konsert, pihak terbabit turut merancang sidang media khas bersama Mamat dalam masa terdekat.





“Kami memang mempunyai perancangan untuk mengadakan sidang media bagi menjelaskan situasi sebenar, selain memaklumkan mengenai perkembangan konsert Exists Reunion,” katanya.

Sementara itu, anggota lain kumpulan berkenaan menyambut berita pembebasan rakan seperjuangan mereka dengan penuh syukur.

“Tiada apa yang lebih baik untuk kami lafazkan, selain mengucap syukur ke hadrat Allah. Terima kasih kepada pihak penganjur, Shiraz Projects, yang sangat peka dan prihatin.




“Ia menunjukkan penganjur konsert kami menjalankan tanggungjawab lebih daripada komitmen sebenarnya. Sikap begini harus dicontohi,” kata mereka.

Semalam, BH Online melaporkan penahanan bekas vokalis kumpulan muzik terkemuka 1990-an ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru, kerana memiliki sejumlah dadah.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun yang pernah memenangi tempat ketiga pertandingan realiti televisyen, empat tahun lalu, ditahan bersama seorang rakannya, kira-kira jam 11.30 malam.

Difahamkan, suspek ditahan selepas polis peronda yang melakukan pemeriksaan menemui sejumlah dadah dipercayai syabu dalam pemilikan mereka.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah.



(Visited 127 times, 1 visits today)

Comments

comments