Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

[VIDEO] Mahu selamat anak punca kumpulan gajah terperangkap lombong

KUANTAN – Kejadian lima ekor gajah yang terperangkap di lombong emas tinggal di Runchang, Pekan dekat sini semalam, dipercayai berlaku selepas gajah dewasa dalam kumpulan itu cuba ‘menyelamatkan’ anaknya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, anak gajah itu dipercayai yang pertama terjatuh ke dalam lombong di Hutan Simpan Bukit Ibam, kira-kira 7 kilometer dari jalan kawasan penempatan Orang Asli RPS Runchang, Pekan.

Difahamkan, lombong yang diusahakan secara haram itu mempunyai kedalaman kira-kira 15 kaki.


“Berdasarkan kesan tapak kaki, anak gajah dipercayai tergelincir dari tebing ke dalam lombong itu menyebabkan empat ekor gajah dewasa turun ke dalam lombong untuk menyelamatkan anak gajah itu.

“Bagaimanapun, kumpulan gajah itu dipercayai tidak dapat keluar kerana keadaan tebing yang curam dan tinggi selain badan mereka juga licin ekoran diselaputi selut. Malah kedalaman selut dalam lombong itu juga dianggarkan tiga kaki,” katanya di sini, hari ini.





Rozidan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian sekitar pagi semalam oleh orang kampung yang mendengar bunyi bising daripada kumpulan haiwan berkenaan, lalu menghubungi pasukan Perhilitan Muadzam Shah, Rompin.

Beliau berkata pasukan yang membuat pemeriksaan mendapati gajah itu cuba untuk keluar daripada lombong pada 12 tengah hari, namun gagal menyebabkan mereka perlu meminta bantuan daripada syarikat perlombongan berhampiran untuk menggunakan excavator bagi membuat laluan keluar.

“Operasi mengambil masa hampir enam jam kerana pasukan penyelamat perlu mengorek kawasan di sekitar lombong bagi membolehkan gajah keluar dengan selamat.

“Semua gajah dapat keluar sekitar 6 petang dan dilihat berada dalam keadaan baik. Kumpulan itu kemudiannya meneruskan perjalanan masuk ke dalam kawasan hutan itu,” katanya.





Rakaman video operasi menyelamatkan gajah itu yang berdurasi 3 minit 43 saat dimuat naik di laman Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia dan turut kedengaran suara pasukan penyelamat memberi arahan supaya gajah itu menuju ke arah ‘laluan’ yang dibuat.

Seekor gajah dewasa dilihat mula ‘mendaki’ laluan itu sebelum diikuti gajah yang lain, namun anak gajah dalam kumpulan itu dilihat seperti tidak berupaya untuk mendaki laluan yang agak tinggi sehingga perlu ditolak oleh seekor lagi gajah dewasa.

Tepukan dan ucapan kesyukuran kedengaran di hujung video itu, apabila semua gajah berjaya keluar dan setakat pagi ini, video itu ditonton lebih 300,000 orang dengan 1,200 komen netizen yang memuji kesungguhan pegawai berkenaan membantu mengeluarkan kumpulan gajah tersebut.- Bernama

(Visited 74 times, 1 visits today)

Comments

comments