Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Sesak teruk KL-Kelantan 22 jam baru sampai, terserempak lelaki di pembahagi jalan

Seorang lelaki dirakamkan berjalan kaki di pembahagi jalan, dekat Gua Musang, Kelantan. Foto ninieyishak

CUTI sekolah dan cuti umum lebih panjang sempena Hari Raya Aidiladha mengakibatkan kesesakan teruk di lebuh raya utama terutama pada Sabtu.

Sememangnya ia menguji kesabaran pengguna jalan raya yang mahu pulang ke kampung halaman, lebih-lebih lagi ke Pantai Timur yang boleh memakan masa berbelas jam disebabkan kesesakan trafik.



Rintihan seorang gadis yang turut terperangkap dalam kesesakan itu di laman sosial bagaimanapun mencetuskan perhatian apabila menyedari seorang pemuda sehelai sepinggang berjalan kaki di pembahagi jalan.

“I dah cakap baik jalan kaki je balik Kelantan and someone really did it!,” menurut perkongsiannya dengan memuat naik sekeping gambar lelaki itu berjalan di pembahagi jalan, menjadi tular.

Perkongsian seorang gadis meraih perhatian netizen.

Bercakap kepada mStar, pengguna Twitter yang membuat perkongsian itu, gambar tersebut dirakamnya semasa dalam perjalanan pulang ke kampung dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas, Kelantan.

“Saya terserempak dengan lelaki tu masa dekat lebuh raya nak masuk ke Gua Musang, kira-kira pukul 5.45 petang semalam (Sabtu).

“Masa tu saya dalam perjalanan bersama dua kakak. Memang kesesakan teruk nak balik Kelantan, 22 jam sampai kira-kira pukul 2.10 pagi tadi (Ahad),” katanya kepada mStar.

Tindakan pemuda tersebut bukan sahaja menjadi tanda-tanya dalam kalangan netizen, malah mendapat simpati ramai kerana ketabahannya berjalan kaki sejauh itu.

image: https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2019/08/11/~/media/0808f1db8cf94ac699f16aea0ad17fed.ashx?la=en

Tindakan seorang lelaki berjalan kaki ketika kesesakan di lebuh raya menimbulkan tanda tanya.

“Ya Allah, permudahkanlah urusan abang tu. Kesiannya dia,” tulis seorang netizen.

“Saat kita merasa diri kita susah, ada orang lebih jauh susah daripada kita,” ujar seorang netizen yang bersimpati dengan keadaan lelaki itu.

“Kalau naik kereta pun sembilan jam, apatah lagi jalan kaki nak ke Kelantan?,” soal yang lain.

Saat kita merasa diri kita susah, ada orang lebih jauh susah daripada kita

NETIZEN

“Tolong sesiapa yang ada nombor telefon dia atau waris dia. Rasa bersalah kalau tak bantu. Tak sampai hati biarkan dia berjalan jauh macam tu, KL-Kelantan dengan berjalan kaki satu perkara yang langsung tak kan terdetik nak buat,” kata seorang netizen tampil untuk membantu.

“Bro, I tak ada banyak duit tapi sanggup tolong sekurang-kurangnya duit (tambang) bas. Berat hati tak tolong,” kata seorang netizen.





Komen netizen yang bersimpati dengan lelaki yang sanggup berjalan kaki di lebuh raya.

Pada masa sama, ada yang mempersoalkan kewajaran lelaki itu berjalan kaki di pembahagi jalan ketika kesesakan lalu lintas, dan bukan di tepi lebuh raya yang lebih selamat.

“Kalau balik jalan kaki pun kenapa jalan ikut pembahagi jalan tu?,” soal netizen.

“Kat tepi (jalan) motor lalu. Jalan hujung (lorong kecemasan) untuk ambulans pun kereta sapu. Keselamatanlah. Pergi jalan kaki kat situ baru faham situasi,” jawab seorang netizen.




Bagaimanapun, menerusi bebenang pada perkongsian gadis itu, seorang pemuda mendakwa mengenali lelaki yang berjalan kaki itu.

Dakwanya di bebenang, ia bukan kali pertama rakannya itu berjalan dari Kuala Lumpur ke Kelantan disebabkan mengalami kesempitan wang.

“SubhanaAllah. Rakan sekolah tu, dia ni memang hidup susah. Tiga hingga empat kali juga dia jalan kaki dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Duit dia tak ada, banyak kali dah kami tolong,” ujarnya di bebenang.

Pemuda tersebut ketika dihubungi mStar bagaimanapun enggan mengulas lanjut, dan hanya meminta semua pihak mendoakan yang terbaik buat rakannya itu. – mStar

(Visited 730 times, 1 visits today)

Comments

comments