Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pakar Perubatan Berjaya Sambung Ibu Jari OCPD Besut

KOTA BHARU – Keadaan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini selepas ditetak seorang lelaki pesakit mental tengah hari semalam adalah stabil.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, doktor pakar di hospital berkenaan juga telah berjaya menyambung semula ibu jari kanan Mohd Zamri yang terputus dalam serangan pada pukul 12.50 tengah hari itu.



“Saya telah diberi taklimat oleh doktor yang memaklumkan beliau stabil dan kini dalam pemerhatian doktor perubatan.

“Alhamdulillah dalam pembedahan selama 17 jam sejak petang semalam, pakar perubatan telah berjaya menyambung semula ibu jari yang putus itu,” katanya pada pemberita selepas membuat lawatan terhadap Mohd. Zamri di ICU HUSM itu hari ini.

Mohd. Zamri kini menerima rawatan selepas diserang menggunakan parang oleh seorang lelaki pesakit mental menyebabkan luka di bahagian belakang kepala dan putus ibu jari kanan di rumahnya di Kampung Padang Luas, Besut tengah hari semalam.





Turut hadir, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Pengarah Kampus Kesihatan HUSM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim.

Mengulas isu serangan itu, Mazlan berkata, serangan berkenaan dilakukan oleh penyerang yang mengalami masalah mental dan polis tidak mengaitkan unsur jenayah lain berkaitan insiden itu.

“Suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes itu tidak menjurus kepada gangguan keselamatan penjawat awam khusus kepada Ketua Polis Daerah.




“Kes itu membabitkan pesakit mental, itu saja dan tidak ada jenayah dan unsur yang boleh mengaitkan dengan jenayah lain,” katanya.

Beliau turut, mengucapkan terima kasih kepada pakar perubatan hospital itu yang telah berjaya menyambung semula ibu jari tersebut.

Sementara it Dr. Ahmad Sukari berkata, ketika ini pakar perubatan sedang memantau keadaan ibu jari Mohd. Zamri selepas melakukan pembedahan yang disifatkan beliau sebagai agak rumit.

Isteri Mohd. Zamri, Azini Mamat, 51, bagaimanapun, enggan memberikan sebarang komen mengenai keadaan suaminya.

(Visited 113 times, 1 visits today)

Comments

comments