Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Malaysian Tigers juara Kejohanan Jemputan Empat Negara

KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara memperoleh bekalan tonik terbaik bagi menghadapi kempen kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 selepas muncul juara Kejohanan Jemputan Empat Negara di Terrassa, Sepanyol, hari ini.

Pencapaian ini menjadi lebih bermakna selepas bukan calang-calang pasukan diketepikan Malaysia kali ini.




Meskipun sekadar terikat 3-3 dalam aksi terakhir menentang gergasi nombor enam dunia England, petang tadi, ia memadai untuk menobatkan skuad kendalian Roelant Oltmans sebagai pemenang.

England bagaimanapun nyaris dimalukan skuad negara selepas ketinggalan 2-0 hasil jaringan seawal minit ketiga Razie Abd Rahim dan Fitri Saari (m-9) sebelum bangkit menyamakan kedudukan hasil percubaan Sam Ward (m-24) dan Christopher Griffiths (m-34).

Penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil kembali meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-54 tetapi kelebihan itu hanya bertahan tiga minit untuk Phil Roper menyelamatkan maruah pasukannya itu.

Terdahulu, skuad negara turut mencatat kemenangan dalam dua aksi pertama ke atas Sepanyol 4-3 dan Ireland 2-1 untuk menamatkan kempen dengan mengutip tujuh mata.





Kali terakhir Malaysia merasai nikmat sebagai juara adalah ketika memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh pada tahun sama.

Selain kejohanan itu, skuad Malaysian Tigers akan mengadakan perlawanan ujian menentang Belanda pada 6 dan 8 Ogos, diikuti Belgium pada 10 dan 12 Ogos ini.

Dalam aksi pertama Siri Jelajah Eropah, minggu lalu, skuad negara melakukan kejutan besar apabila menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 serta juara dunia, Jerman, 4-2 di Krefeld, Jerman.

Siri Jelajah Eropah adalah antara program MHC untuk persediaan menghadapi pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 Tokyo, November ini.

Malaysia dijangka berdepan satu daripada empat negara – Jerman, Sepanyol, New Zealand dan Kanada pada kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020.




(Visited 112 times, 1 visits today)

Comments

comments