Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tiada masalah sediakan RM3 juta – Calon Presiden Kafa

KUALA LUMPUR: “Setakat RM3 juta, tiada masalah!”

Calon Presiden baharu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang menjadi pilihan majoriti Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) tampak bersedia untuk ‘meleburkan’ RM3 juta sebagai wang pendahuluan bagi menyelesaikan segala masalah berbangkit membelenggu persatuan itu.




Perkembangan itu disahkan Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad yang mengakui individu bergelar Datuk yang juga anak jati Kelantan itu juga sudah menyatakan persetujuan untuk mengemudi KAFA sekali gus melangsaikan segala hutang bagi ‘membersihkan’ persatuan itu.

“Kita sudah mengadakan perjumpaan dengan seorang ahli politik di mana pencalonannya mendapat persetujuan tujuh daripada sembilan PBJ dan nampaknya dia menerima hasrat kita.

“Jadi, setakat RM3 juta seperti dilaporkan media, saya rasa dia tiada masalah untuk mengeluarkan duit sebanyak itu.

“Ini kerana pada masa sama, kita juga sedang dalam rangka kerja terakhir untuk mendapatkan penajaan daripada syarikat multinasional antarabangsa dan kami mengharapkan usaha ini berjaya,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Namun, nada berbeza ditampilkan seorang wakil PBJ yang enggan dikenali apabila melihat beberapa calon dicadangkan tidak memiliki kewangan kukuh sekali gus memungkinkan persatuan itu terus berdepan masalah sekiranya mereka mengemudi KAFA selepas ini.

“Mana ada individu yang berani keluarkan RM3 juta daripada poket sendiri. Saya tahu ada beberapa calon berminat tetapi saya tengok, mereka pun macam tiada duit.





“Malah, beberapa individu yang namanya dicanang sebelum ini pun sudah menolak dan tidak bersedia. Kita harus ingat, bukan setakat hutang saja perlu diselesaikan tetapi mereka perlu memastikan duit cukup sehingga penghujung musim.

“Apapun, bagi kami mudah saja. Presiden perlu tahu mencari duit bagi memastikan persatuan dan pasukan boleh terus bernyawa,” katanya.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan mana mana individu berminat menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM3 juta sebagai anggaran ‘wang pendahuluan’.

Jumlah itu merangkumi tunggakan gaji pemain dan hutang lain seperti bayaran stadium yang patut diselesaikan presiden baharu bagi proses ‘penyucian’ KAFA.

Ia tidak termasuk lagi jumlah hutang terhadap pemain serta tunggakan semasa bagi semua pasukan termasuk skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia.



Comments

comments

,