Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tiada jaminan tempat buat pemain Harimau Malaya – Cheng Hoe

Kejayaan Harimau Malaya mencatatkan kemenangan besar 12-2 secara agregat ke atas Timor Leste pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tidak menjamin tempat buat pemain sedia ada untuk dipanggil pada pusingan kedua, kelak.

Amaran tersebut diberikan oleh ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam sidang media pasca perlawanan, malam tadi. Jelasnya, beliau akan memantau prestasi setiap pemain dalam saingan liga dan hanya pemain yang memenuhi ‘standard’ beliau sahaja akan dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan.



“Tiada jaminan 30, 25 atau 23 pemain yang dipanggil bersama skuad negara kali ini akan kekal bersama pasukan. Dalam menyiapkan pasukan menghadapi pusingan kedua, kita akan memantau prestasi semua pemain dalam liga dari semua segi,” kata Tan Cheng Hoe seperti dilaporkan oleh Bernama.

Daripada kenyataan ini, dapat disimpulkan bahawa bekas pengendali Kedah ini turut membuka peluang kepada pemain-pemain lain yang tidak terpilih menyarung jersi kebangsaan ketika menentang Timor Leste untuk menampilkan aksi terbaik dalam saingan domestik seterusnya merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

Secara tidak langsung, ia akan mewujudkan persaingan sihat dan memberikan lebih pilihan kepada Cheng Hoe mengadunkan pemain-pemain terbaik seterusnya membentuk sebuah pasukan yang lengkap untuk mengharungi saingan di pusingan kedua melibatkan 40 pasukan terbaik asia.





“Kita akan jumpa pasukan lebih kuat dan jauh lebih baik daripada kita pada pusingan kedua September ini. Saya mahukan semua pemain bersedia dari sekarang kerana peringkat seterusnya bukan mudah.

“Kemungkinan besar kita akan diundi bersama negara seperti Iran, Jepun dan Qatar. Pemain kena sedia terima tekanan yang lebih tinggi dan kuat sekiranya berhadapan negara-negara itu,” katanya lagi.

Kesemua 40 pasukan ini akan diundi kepada lapan kumpulan di mana setiap kumpulan terdiri daripada lima pasukan. Sesi undian pusingan kedua ini akan mengambil tempatnya pada 17 julai depan.

Pusingan kedua melibatkan 10 hari perlawanan dan akan bermula 5 september 2019 sehingga 9 jun 2020. Lapan juara kumpulan dan empat naib juara kumpulan akan layak ke pusingan ke-3 kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.



(Visited 8 times, 1 visits today)

Comments

comments

,