Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Siti Kharina, Lelaki Nigeria Kenal Melalui Laman Sosial

KUALA LUMPUR – Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd. Kamarudin, 40, yang mayatnya ditemui dengan kesan kelar pada leher dan dada di rumah sewanya di sebuah kondominium di Cyberjaya Rabu lalu dikatakan mengenali seorang lelaki warga Nigeria yang juga suspek utama kes tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa mengenali suspek menerusi laman sosial sejak beberapa tahun lalu.

“Setakat ini, kita dapati mereka (mangsa dan suspek) saling mengenali satu sama lain sebelum lelaki warga Nigeria itu memasuki negara ini awal Januari lalu.



“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan sejauh mana hubungan mereka.

“Pihak polis juga masih menyiasat hubungan mangsa de­ngan wanita Nigeria serta lelaki Pakistan yang turut ditahan dalam kes ini serta kaitan antara ketiga-tiga suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi ­Kosmo! semalam.

Sementara itu, seorang pe­ngawal keselamatan di kondominium tempat kejadian berlaku mendakwa, ada melihat lelaki warga Nigeria berusia 36 tahun itu keluar dari kawasan tersebut kira-kira pukul 9 malam pada hari kejadian dengan menaiki Grab.

Pengawal keselamatan itu berkata, suspek itu bagaimanapun tidak menunjukkan sikap mencurigakan dan berlagak seperti tiada yang berlaku.

“Lelaki itu nampak tenang saja dan tidak tergesa-gesa ketika menuruni lif serta me­nunggu Grab.

“Kawasan ini Grab memang banyak, jadi senang untuk dia balik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kondominium itu di Cyberjaya semalam.

Difahamkan, kereta Honda City berwarna putih milik mangsa juga dilihat berada di parkir kenderaan yang dikhususkan untuk penghuni kediaman pada hari kejadian.

Pengawal keselamatan itu turut mendakwa, suspek dan mang­sa dipercayai saling me­ngenali antara satu sama lain berikutan mereka beberapa kali dilihat keluar masuk kondomi­nium sebelum hari kejadian.

Bagaimanapun dakwanya, suspek tidak akan datang bersendirian kerana warga asing itu dipercayai tidak mempunyai kad akses ke rumah sewa mangsa.

“Mereka selalunya datang bersama menaiki kereta milik mangsa dan pernah keluar makan bersama,” dakwanya.

Kosmo! semalam melaporkan, misteri kehilangan seorang Ke­tua Jururawat Hospital Serdang sejak 8 Mei lalu akhirnya terjawab apabila mayat wanita itu ditemui di rumah sewanya di sebuah kondominium di Cyberjaya dekat sini.

Penemuan mayat Siti Kharina terbongkar selepas polis me­nerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar dari salah satu pintu kediaman terbabit kira-kira pukul 2.30 petang.

Dalam pada itu, suspek utama warga Nigeria yang disyaki terlibat dengan kes pembunuhan Siti Kharina ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Sepang dekat sini semalam.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret A. Akhiruddin @Boy Acho bermula semalam hingga 23 Mei depan.





Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 36 tahun itu bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dua lagi suspek iaitu wanita Nigeria dan lelaki Pakistan turut direman selama tujuh hari bermula kelmarin.

8 Mei 2019 – Ketua Jururawat, Siti Kharina Mohd. Kamarudin, 40, dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat di tempat letak kenderaan Hospital Serdang di dalam sebuah kereta Honda City.

9 Mei 2019 – Ahli keluarga Siti Kharina mendapat panggilan daripada pihak pengurusan Hospital Serdang memaklumkan mangsa tidak hadir bekerja dan gagal dihubungi.

10 Mei 2019 – Ahli keluarga buat laporan di Balai Polis Komuniti Datuk Abu Bakar Baginda, Kajang, Selangor.

13 Mei 2019 – Polis jalankan siasatan dan klasifikasikan kes sebagai kes Orang Hilang.

15 Mei 2019 – Mayat seorang wanita ditemui dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya dan polis menahan dua individu bagi bantu siasatan.

16 Mei 2019 – Polis sahkan mayat wanita dengan kesan kelar pada leher, dada dan kepala adalah Siti Kharina. Seorang lelaki Nigeria ditahan.

17 Mei 2019 – Lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– Bedah siasat sahkan Siti Kharina meninggal dunia akibat luka hirisan pada leher guna objek tajam.



 

(Visited 14 times, 1 visits today)

Comments

comments