Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Ringankan hukuman, MFL hanya potong 5-10 peratus geran tahunan

Image may contain: text

KUALA LUMPUR: Tujuh pasukan yang dikenakan pemotongan 50 peratus sebelum ini akhirnya menarik nafas lega apabila jumlah itu dikurangkan kepada hanya lima dan 10 peratus.



Dua pasukan Liga Super – Kuala Lumpur dan FELDA United serta dua pasukan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) dan Pulau Pinang bakal menerima 95 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tahun ini.

Melaka United, Sarawak dan Kelantan pula dikurangkan sebanyak 10 peratus, menyaksikan mereka hanya akan menerima 90 peratus daripada jumlah geran.

“Keputusan pengurangan (kepada) lima peratus itu dibuat menerusi penilaian Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mereka menyerahkan bukti pembayaran hutang, pelan pembayaran hutang tertunggak, pelan kewangan perbelanjaan dan pendapatan terperinci untuk musim 2019.

“Denda pemotongan jumlah geran ke atas Melaka, Sarawak dan Kelantan pula dikurangkan sebanyak 10 peratus. Ini kerana pasukan-pasukan terbabit masih belum melengkapkan surat pengesahan daripada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Selain itu, ada antara pasukan terbabit tidak menyerahkan pelan pembayaran tunggakan hutang dan bajet tahunan 2019,” menurut MFL dalam kenyataan rasminya hari ini.

Jumlah pemotongan selepas rayuan itu nyata lebih kecil berbanding pemotongan geran tahunan tahun lalu, membabitkan 17 hingga 30 peratus dan keputusan ini diambil selepas mengambil kira faktor peralihan pucuk kepimpinan pengurusan yang mahu melakukan penstrukturan semula pasukan.




Namun jika didapati pasukan masih mengulangi kesalahan sama pada musim depan, Ahli Lembaga Pengarah MFL akan mengenakan denda lebih tegas seperti hukuman tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, MFL menjelaskan sekatan perpindahan pemain kepada Kelantan dan Sarawak pada jendela perpindahan kedua bermula 29 Mei ini dikekalkan kerana kedua-duanya adalah kesalahan kali kedua berturut-turut.

“Bagaimanapun Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima rayuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan PDRM selepas pasukan terbabit menyelesaikan sebahagian tunggakan hutang serta menyediakan pelan pembayaran tunggakan hutang.

“Tiga pasukan ini juga tidak dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas mereka sudah mengemukakan dokumen menunjukkan kestabilan kewangan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019, bukti serta dokumen jumlah tunggakan hutang sudah diselesaikan.

“Manakala denda pemotongan tiga mata akan diaktifkan ke atas Melaka, Sarawak dan Kelantan sekiranya dokumen tertentu masih tidak diserahkan sebelum atau pada 22 Mei depan,” katanya



(Visited 3 times, 1 visits today)

Comments

comments

,