Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Aksi Liga-M di bulan Ramadhan penting untuk kem Harimau Malaya

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya keputusan Malaysian Football League (MFL) meneruskan saingan Liga Malaysia pada bulan Ramadhan akan memberikan manfaat kepada pasukan kebangsaan.

Menurutnya, barisan pemain Harimau Malaya akan lebih bersedia daripada aspek kecergasan menjelang tugasan antarabangsa mereka bertemu Timor Leste dalam aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan depan.



Justeru, Cheng Hoe memuji pendekatan MFL yang turut mementingkan agenda kebangsaan apabila membuat keputusan untuk meneruskan perlawanan ke-13, 14 dan 15 Liga Super dan Liga Premier serta aksi kedua suku akhir Piala FA sepanjang Ramadhan ini walaupun terdapat cadangan supaya Liga Malaysia berehat dalam tempoh itu.

“Jika Liga Malaysia rehat pada bulan Ramadhan, ia sedikit sebanyak menjejaskan momentum pasukan kebangsaan. Tapi ia berbeza apabila pemain-pemain terus bermain di perlawanan kompetitif sebelum dipanggil menyertai latihan pusat.

“Sememangnya bermain di bulan Ramadan sedikit sebanyak memberikan kesan kepada fizikal dan kecergasan pemain-pemain tapi saya fikir pemain-pemain sudah memiliki pengalaman bermain di bulan Ramadan pada tahun lepas, jadi ia tidak akan mengganggu rentak mereka,” ujarnya.





Sebagai rekod, Malaysia akan menentang Timor Leste dua kali di Kuala Lumpur dan sekiranya menang, akan menyertai 34 pasukan teratas benua Asia dalam pusingan seterusnya termasuk juara Piala Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar.

Pada pusingan kedua yang dijadualkan pada September, 40 pasukan akan diundi dalam lapan pasukan yang terdiri daripada lima pasukan setiap satu, dengan hanya pendahulu kumpulan dan empat pasukan di tempat kedua terbaik akan layak ke Pusingan Ketiga kelayakan Piala Dunia dan mendapat slot automatik untuk Piala Asia.

Negara yang gagal untuk mendapat slot automatik akan perlu merebut 12 lagi slot Piala Asia, manakala pasukan yang telah layak akan meneruskan kelayakan Piala Dunia dengan perlawanan pusingan keempat dan kelima.

AFC bagaimanapun masih belum menentukan mekanisme pusingan keempat dan kelima, kerana FIFA masih belum membuat keputusan akhir mengenai jumlah pasukan untuk Piala Dunia 2022.



(Visited 6 times, 1 visits today)

Comments

comments

,