Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Rashford seperti Mbappe – Solskjaer

MANCHESTER: Pengendali sementara Manchester United Ole Gunnar Solskjaer membandingkan Marcus Rashford dengan pemain sensasi Paris Saint-Germain Kylian Mbappe menjelang pertembungan antara kedua-dua pasukan itu dalam aksi Liga Juara-Juara.




Kedua-dua penyerang itu pasti menjadi tumpuan apabila United melayan kunjungan PSG di Old Trafford untuk perlawanan pertama kelompok 16 terakhir awal pagi Rabu ini.

Rashford berada pada prestasi terbaik sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho pada Disember, dengan pemain 21 tahun itu menjaringkan enam gol sepanjang 10 penampilan dalam semua pertandingan.

Dan Solskjaer – yang kontraknya akan tamat akhir musim ini – percaya Rashford adalah jawapan United terhadap juara Piala Dunia berusia 20 tahun PSG, Mbappe.

“Marcus akan menjadi pemain berkualiti tinggi. Saya suka bekerja dengannya. Saya pasti PSG akan melihat Marcus seperti kita melihat Mbappe – dia salah satu ancaman utama,” kata Solskjaer selepas kemenangan 3-0 Liga Perdana Inggeris ke atas Fulham.

“Mbappe meningkat naik dengan begitu baik. Semangat yang membara, sudah pasti akan ada perbandingan. Saya pernah melihat Mbappe secara langsung sekali dan Marcus setiap hari.





“Penyerang jarang mendominasi bola sepak tetapi kedua-dua pemain ini akan memberi impak besar terhadap bola sepak dalam tempoh 10 tahun lagi. Mereka akan memeriahkannya.”

Dengan Neymar tidak akan beraksi akibat kecederaan dan tahap kecergasan Edinson Cavani serta Marco Veratti diragui, cabaran PSG di Manchester pastinya akan disandarkan ke atas Mbappe.

“Neymar sangat bagus, peminat kami pasti ingin melihatnya – dan pemain-pemain ingin bermain menentangnya.

“Antara perkara yang paling saya ingat ialah bermain dengan mereka yang terbaik – [Zinedine] Zidane, Ronaldo, [Luis] Figo, [Paolo] Maldini – anda akan merasa tidak sabar untuk menguji kemampuan anda ke atas pemain-pemain hebat.

“Itulah perasaan kami dulu dan saya pasti pemain-pemain ini juga merasainya. Tetapi kami berdepan pasukan yang mempunyai pemain berkualiti tinggi dan kami perlu mempamerkan prestasi terbaik kami,” katanya. – AGENSI



(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments