Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tak lena tidur 22 tahun bank tuntut hutang

SLIM RIVER: Tidak pernah memiliki apatah lagi berhutang dengan kad kredit tetapi bekas pekerja lombong di sini diburu sebuah bank yang menuntut hutang lebih RM600,000 daripadanya sejak 23 tahun lalu.

Mohamed Debab, 66, dari Kampung Sri Keledang di sini mendakwa, dia menerima notis bayaran tunggakan kad kredit yang semakin meningkat sedangkan tidak pernah memilikinya daripada mana-mana bank tempatan.




Menurutnya, dia memang pernah memohon kad kredit daripada bank tempatan pada tahun 1994, namun permohonan itu tidak diluluskan kerana pendapatannya sebagai pekerja lombong ketika itu hanya RM400.

Katanya, bagaimanapun dia terkejut apabila menerima notis pembayaran kad kredit dan tunggakan RM3,271 pada pertengahan tahun 1995.

Mohamed berkata, pada 16 April 2003 dia menulis surat kepada bank berkenaan memaklumkan tidak memiliki kad kredit dan ketika itu hutang dituntut berjumlah RM25,448.86, tetapi pihak bank tetap menghantar notis tuntutan bayaran sehingga kini.

“Laporan polis pertama dibuat pada tahun 2007 di Balai Polis Slim River kerana saya mengesyaki ada individu menggunakan pengenalan diri saya dan ketika itu hutang kad kredit yang dituntut sudah RM85,295.


“Walaupun membuat laporan polis, notis tuntutan kad kredit terus saya terima dan tunggakannya semakin bertambah sehingga RM142,726.61 menyebabkan sekali lagi saya membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Malim tiga tahun kemudian,” katanya ketika ditemui, dekat sini.

Mohamed berkata, dia sudah pergi ke cawangan bank berkenaan di Tanjung Malim dan Ipoh, malah hingga ke ibu pejabat bank itu di Kuala Lumpur memaklumkan perkara ini, namun pihak bank tetap menghantar notis tuntutan.

Katanya, terbaru dia menerima notis menuntutnya menjelaskan bayaran tunggakan berjumlah RM602,662.48 dan surat dari syarikat yang dilantik oleh pihak bank untuk mengutip hutang menyebabkan dirinya semakin tertekan dan tidak lena tidur memikirkan perkara itu.

“Saya minta pihak bank menyiasat perkara ini dan mencari individu yang bertanggungjawab menggunakan pengenalan diri saya kerana apa yang berlaku satu penganiayaan kepada saya,” katanya.



(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments