Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Terkejut Ada Gambar Bersama 11 Tahun Sebelum Bertemu Jodoh

BENARLAH kata pepatah ‘lama Melayu ‘kalau dah jodoh tak ke mana’ yang sering diungkapkan oleh masyarakat apabila berbincang soal pertemuan kemudian membawa kepada perkahwinan.

Begitulah kisah cinta yang dilalui oleh sepasang suami isteri di China apabila mereka secara tidak sengaja pernah dipertemukan kira-kira 18 tahun yang lalu sebelum mengenali satu sama lain.




Pasangan tersebut yang dikenali sebagai Ye dan Xue, terkejut apabila sekeping gambar yang tercetak menyaksikan mereka berdua pernah terpisah hanya beberapa meter ketika zaman remaja.

Mereka berdua bertemu dan jatuh cinta pada tahun 2011 di Chengdu, China sebelum berkahwin dan dikurniakan sepasang anak kembar.

Namun, lapor Astro Awani yang memetik media tempatan, Sina News, baru-baru ini pasangan suami isteri tersebut mendapati mereka berdua pernah berada di tempat yang sama sekitar Julai 2000.

Ini dapat dibuktikan apabila si suami terjumpa sekeping gambar lama isterinya itu ketika mengunjungi Lapangan May Fourth di Qingdao di mana dirinya berada di latar belakang gambar tersebut.

Lapor Sina News, Ye terjumpa gambar itu pada 4 Mac lalu ketika dia sedang menyelak gambar-gambar isterinya sewaktu mengunjungi rumah keluarga mentuanya.





Setelah terjumpa gambar berkenaan, lelaki tersebut nyata terperanjat apabila terlihat kelibat dirinya pada gambar yang menunjukkan Xue di hadapan tugu arca yang menjadi tarikan di situ.

Mengikut ceritanya, Xue ke dataran itu bersama ibunya ketika bercuti di bandar berkenaan mengambil keputusan bergambar di hadapan tugu dan tanpa disedari sebenarnya terakam gambar lelaki yang dikahwininya bertahun kemudian.

Si suami serta-merta mengenal pasti jejaka yang berbaju biru dan berseluar hitam dalam gambar tersebut adalah dirinya dan bagi membuktikan perkara tersebut, Ye telah mencari semula gambar yang dirakamnya pada hari sama.

“Apabila saya ternampak gambar itu, saya terperanjat dan bulu roma saya meremang, itu memang posisi saya ketika mengambil gambar.


“Saya juga sedang mengambil gambar, dan posisinya sama (seperti yang diambil dalam gambar Xue), hanya dari sudut berbeza,” katanya kepada Sina News.

Apabila mempunyai bukti melalui gambar yang dirakamnya, mereka kemudiannya sama-sama berkongsi gambar tersebut menerusi laman sosial Weibo dan menjadi tular.

Rata-rata netizen berpendapat bahawa mereka berdua sememangnya ditakdirkan bersama dan pasangan tersebut merancang untuk kembali ke tempat sama di masa hadapan membawa anak-anak mereka.

“Ia kelihatan seperti Qingdao sememangnya antara bandar yang sangat istimewa (bagi kami). Apabila anak kami sudah dewasa, kami akan pergi ke Qingdao sekali lagi merakam gambar sekeluarga,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/EZ



Comments

comments

,