Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

PKNS FC Dalam Proses Dapatkan Lesen AFC

KELAB bola sepak PKNS FC kini berada di landasan tepat untuk memperoleh lesen kelab Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata, sehingga kini pasukannya telah me­menuhi beberapa kri­teria yang ditetapkan oleh AFC, antaranya sumber kewangan yang kukuh, hak penyiaran dan penajaan serta pe­ngurusan liga.

“Dokumentasi seper­ti prosedur operasi standard, carta organisasi Akademi Bola Sepak PKNS FC dan lain-lain masih lagi pada pe­ringkat pengumpulan dokumen.

“Hasil lawatan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) ke Akademi PKNS FC di Kelana Jaya pada November tahun lepas juga menunjukkan mereka berpuas hati dengan fasiliti di situ dan menyatakan bahawa kami sudah hampir memperoleh lesen AFC,” kata Siti Zubaidah semalam.

AFC mensyaratkan pasukan yang mahu mendapatkan pelesenan kelab perlu memenuhi beberapa kriteria seperti memiliki stadium sendiri, pe­ngurusan liga profesional, selain mempunyai sistem logistik, visa dan kemudahan penginapan terbaik.





PKNS FC telah mengenal pasti tiga lokasi di bawah kawasan pembangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membangunkan stadium mereka sendiri iaitu di Shah Alam, Kota Puteri (Ijok) atau Bernam Jaya di Hulu Selangor.

Siti Zubaidah memaklumkan, pe­ngurusan kelab sedang giat melengkapkan proses dokumentasi untuk mendapatkan lesen kelab AFC sebelum menye­rahkan dokumen yang diperlukan kepada AFC bulan depan.

Katanya, wakil badan induk bola sepak Asia itu akan melakukan tinjauan terhadap PKNS FC termasuk melawat fasiliti pasukan berkenaan selepas segala dokumen dihantar kepada mereka.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam ketika dihubungi mengesahkan, pihaknya serta wakil FAM telah mengadakan lawatan ke Akademi PKNS FC di Kelana Jaya baru-baru ini dan yakin pasukan yang mendapat jolokan ‘Semut Merah’ tersebut berada di landasan tepat untuk mendapat pelesenan kelab AFC.

“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan PKNS FC dalam ­usaha mereka untuk memperoleh le­sen AFC. Saya lihat mereka merupakan antara pasukan tempatan yang sangat serius untuk mendapatkan lesen tersebut,” jelas Kevin.

Beliau memaklumkan, antara faedah yang bakal dinikmati sesebuah pasukan yang mendapat lesen kelab AFC adalah layak bertanding pada Piala AFC atau Liga Juara-juara Asia yang merupakan pertandingan antara kelab berprestij di benua Asia.

“Sekiranya pasukan yang muncul juara Liga Super atau Piala FA itu tidak mempunyai lesen kelab AFC, maka peluang akan diberikan kepada JDT memandangkan pasukan tersebut satu-satunya yang memiliki lesen berkenaan,” katanya.

Untuk rekod, JDT merupakan wakil tunggal negara yang sudah memperoleh lesen kelab AFC. – Bernama

(Visited 5 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,