Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Lelaki Teragung Juara AJL 31, Dayang Nurfaizah Buat Hatrik Vokal Terbaik

Lagu Lelaki Teragung dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) di pentas akhir malam ini sekali gus menewaskan 11 lagu lain yang bersaing.

Kemenangan tersebut melayakkan Dayang Nurfaizah menerusi lagu Lelaki Teragung komposer Natasyah dan penulis liriknya oleh Iman Imran membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000, trofi AJL31 serta baucar produk Cj Wow Shop dan telefon pintar Samsung Galaxy A dari Samsung.

Naib juara pula memihak kepada Misha Omar dan Hafiz Suip yang membawa lagu Terimaku Seadanya, komposer dan penulis lirik oleh Ajai menerima RM35,000 dan trofi AJL31.

Manakala tempat ketiga berpihak kepada Projector Band menerusi lagu Sudah Ku Tahu, komposer dan penulis lirik, Razif yang berjaya membawa pulang wang tunai sejumlah RM20,000 serta trofi AJL31.





Sementara, bagi pemenang kategori Vokal Terbaik sekali lagi dimenangi oleh Dayang Nurfaizah menerusi lagu Lelaki Teragung dan Persembahan Terbaik pula dimenangi oleh kumpulan Khalifah dengan lagu Hang Pi Mana.

Dayang dan Khalifah masing-masing membawa pulang wang tunai RM12,000 dan telefon pintar Samsung Galaxy A dari Samsung beserta trofi AJL31.

AJL31 juga turut menampilkan Man Bai, Ameng dan Ella yang membuat persembahan istimewa untuk dua penulis lirik terkenal iaitu Allahyarham Juwie atau Abdul Jalil Salleh dan Loloq (Rosli Khamis).

Mereka menyampaikan lagu-lagu seperti Masih Aku Terasa, Sampai Hati, Layar Impian dan Permata Pemotong Permata.

Pada tahun ini, AJL31 mengangkat tema ‘Cerita Dalam Lagu’ demi memartabatkan hasil nukilan penulis lirik lagu-lagu terbaik 2016.

AJL31 yang disiarkan secara langsung di TV3 menampilkan empat pengacara iaitu Sarimah Ibrahim, Awal Ashaari, Fara Fauzana dan Fizi Hot FM.

Comments

comments

,