Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tidak Mudah Wakili Negara, Jangan Peduli Cacian – Mat Yo

Mat YoKUALA LUMPUR 30 Sept. – Walaupun Harimau Malaysia sering dikritik oleh kalangan peminat bola sepak tempatan namun penyerang Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha tidak pernah terfikir untuk menolak apabila khidmatnya diperlukan setelah lama tidak menyarung jersi skuad kebangsaan.

Norshahrul, yang lebih dikenali sebagai Mat Yo, berkata selepas menyaksikan Malaysia tewas kepada Indonesia 3-0 dalam perlawanan persahabatan di tempat lawan pada 6 September lalu, pelbagai kritikan telah dilemparkan terhadap skuad kebangsaan namun dia tetap mengambil kekalahan itu dari sudut positif.

Jelasnya, bukan mudah untuk setiap pemain beraksi di peringkat antarabangsa kerana mereka perlu memastikan persediaan dilakukan 100 peratus dan sebab itu dia meng­anggap pertemuan menentang Singapura dan Afghanistan merupakan perlawanan penting untuk Harimau Malaysia yang bakal menghadapi Piala AFF 2016 bermula 19 November depan.

“Walaupun pasukan negara dikecam macam-macam selepas kekalahan tersebut dan meskipun saya tiada bersama pasukan saya tahu situasi yang dihadapi oleh rakan-rakan. Bagi saya perlawanan menentang Singapura lebih pen­ting daripada memikirkan apa yang orang di luar sana katakan.


“Perkara paling penting kalau mahu berjaya kita kena kekal bersatu dalam satu pasukan. Terus-terang saya cakap, beraksi di peringkat antarabangsa de­ngan domestik jauh beza. Kita kena terima hakikat.

“Di peringkat antarabangsa, kita kena betul-betul sedia lebih daripada 100 peratus baharu kita boleh bersaing di peringkat lebih tinggi. Penting untuk ada kerja secara berpasukan,” katanya kepada pembe­rita di Wisma FAM hari ini.

BACA: Bukan Senang Wakili Malaysia, Tak Sama Seperti Liga – Amri Yahyah

Mat Yo menyarung jersi skuad kebangsaan sejak zaman Datuk K. Rajagopal, kemudian diambil alih oleh Dollah Salleh sebelum dikemudi Datuk Ong Kim Swee.

Katanya, dia terkejut dengan pemilihannya menyertai Harimau Malaysia.

“Pertama kali saya ingin me­ngucapkan terima kasih kepada jurulatih sebab panggil saya lagi. Memang saya terkejut apabila dipanggil untuk bermain bersama Harimau Malaysia dengan kedudukan Terengganu paling bawah dalam Liga Super. Namun, jika jurulatih sudah memberi kepercayaan kepada saya sudah tentu saya akan melakukan yang terbaik demi pasukan.

“Bagi saya, kalau mana-mana jurulatih memerlukan khidmat saya, selagi saya boleh main dan tiada kecederaan serius saya akan berusaha untuk membantu pasukan pergi lebih jauh,” katanya yang memendekkan percutiannya bersama keluarga di Thailand.

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,