Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Kenaikan pangkat Gunalan dibincang kemudian – Azmin Ali

SEPANG 28 Okt. – Sebarang cadangan untuk menaikkan pangkat K. Gunalan kepada ketua jurulatih Selangor akan hanya dibincangkan kemudian dan mendapat persetujuan pasukan terlebih dahulu, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sela­ngor (FAS), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua jurulatih sementara Red Giants, Gunalan menggantikan Zainal Abidin Hassan yang dipecat selepas mereka kalah 1-0 kepada Kedah dalam perlawanan ke-17 Liga Super pada Ogos lalu, dan kini sedang menyediakan pasukannya untuk menghadapi Lang Merah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Sementara kekalahan kepada Kedah dalam liga menyebabkan Zainal kehilangan jawatannya, perta­nyaan timbul sama ada kejayaan bekas pemain pertahanan kebangsaan Gunalan membawa Se­langor merapati kejayaan merangkul Piala Malaysia kali ke-34 akan membuatkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menawarkannya untuk menjadi ketua jurulatih tetap.


Bagaimanapun, FAS jelas tidak mahu terburu-buru kali ini apabila Mohamed Azmin memberi gambaran bahawa menaikkan pangkat Gunalan hanya akan dipertimbangkan selepas memikirkan semua perkara, termasuk mendapatkan pandangan pemain.

“Apa yang pen­ting adalah hubungan baik serta persefahaman dalam pasukan meliputi pemain, jurulatih dan ketua pasukan sentiasa di­utamakan.

“Persefahaman itu amat penting dan hal ini perlu dirunding untuk dibincangkan bersama para pemain kerana akhirnya, mereka yang perlu menentukan satu pasukan yang kuat dan utuh, bukan saya yang tentukan.

“Saya mendengar tentang perkara ini malah dalam pertemuan bersama ketua pasukan Muhammad Shahrom Kalam minggu lepas, ini antara perkara yang dibincangkan.

“Maknanya, selepas selesai Piala Malaysia kita akan duduk sekali lagi dan berbincang macam mana perancangan masa depan bola sepak Selangor,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perlawanan akhir antara Se­langor dan Kedah diibaratkan sebagai ulangan perlawanan akhir musim lalu yang dimenangi The Red Giants dengan 2-0.

Berhubung imbuhan jika Selangor muncul juara, Mohamed Azmin berkata perkara itu hanya akan diumumkan semasa pertemuan beliau bersama pemain malam ini.

utusan

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,