Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Kekalahan kali ini lebih menyakitkan – Simeone

PEMAIN Atletico Madrid kecewa gagal merangkul kejuaraan Eropah MILAN 29 Mei – Bukan sekali, tetapi tiga kali Atletico Madrid gagal mendakap kejuaraan Eropah biarpun sudah menjejakkan kaki ke final, dan pengenda­linya, Diego Simeone mengakui, kekalahan kali ini lebih menya­kitkan berbanding sebelumnya.

Dalam aksi di Stadium San Siro awal pagi tadi, skuad Los Rojiblancos tumpas buat kali kedua berturut-turut kepada pasukan jiran, Real Marid menerusi penentuan sepakan penalti 3-5 selepas terikat 1-1 dalam 120 minit permainan sebenar.

Dua tahun lalu, Atletico tunduk 1-4 kepada Real dalam aksi yang turut diheret ke masa tambahan. Kali pertama mereka layak ke Kejuaraan Eropah pada 1974, skuad Los Rojiblancos tewas kepada Bayern Munich.

“Ia amat menyakitkan melihat penyokong yang membayar tiket dan sanggup datang jauh ke Milan tetapi saya tidak mampu memenuhi hajat mereka. Saya rasa bertanggungjawab terhadap mereka.

“Apapun, saya bangga dengan pemain saya dan mereka telah menunjukkan kesungguhan untuk menewaskan Barcelona dan Ba­yern Munich (dalam pusingan awal).

“Semangat mereka memang menakjubkan,” kata pengendali kelahiran Argentina itu, yang menggambarkan hatinya terlalu pedih seperti ditikam berulang lagi.

Sejurus tamat perlawanan di San Siro, Simeone, 46, turut memberi bayangan dia mungkin meninggalkan Vicente Calderon, tetapi belum memutuskan me­ngenai masa depannya.

“Apakah saya akan kekal bersama Atletico atau ini penamat segalanya? Saya kena fikirkan semula mengenai perkara itu,” kata Simeone, yang membawa Atletico merangkul kejuaraan La Liga musim 2013-2014, Copa del Rey 2012-2014 dan Liga Europa 2011-2012 sejak membimbing kelab Sepanyol itu pada 2011.


Dalam aksi di Milan, kapten Real, Sergio Ramos meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-15, tetapi pemain gantian, Yannick Carrasco memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan dengan meledak gol pe­nyamaan pada minit ke-79.

Semua pemain yang di­amanatkan mengambil sepakan penalti untuk pasukan masing-masing menyempurnakannya dengan baik, kecuali tonggak pertahanan veteran, Juanfran yang menendang bola ke tiang kanan pintu gol untuk membuka laluan kepada kemenangan Real.

Cristiano Ronaldo tidak me­lakukan kesilapan ketika menggalas tugas mengambil sepakan terakhir, sekali gus menghadiahkan kejuaraan Eropah ke-11 buat Los Blancos.

“Terima kasih dan tahniah kepada Madrid kerana mereka lebih baik daripada kami malam ini.

“Pasukan kami bermula teruk dan hanya memperbaiki permainan pada babak kedua, tetapi Real juga mempunyai peluang untuk menambah gol,” ujar Simeone lagi. – AGENSI

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,