Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Konsert RM2 juta, Search catat sejarah

searcheKUALA LUMPUR 11 Feb. – Bukan kecil-kecil anak, sebaliknya RM2 juta diperlukan untuk kos penajaan bagi penganjuran konsert terbaharu kumpulan rock legenda, Search.

Bakal berlangsung di Stadium Merdeka pada 9 April ini, Konsert Search 35 Tahun itu adalah bagi meraikan ulang tahun ke-35 penubuhan kumpulan rock terunggul negara itu.

Dengan kos penganjuran yang tinggi, konsert anjuran Afjets Sdn. Bhd. (Afjets) itu sekali gus bakal menjadi saksi kehebatan persembahan kumpulan rock yang pernah mencetuskan fenomena dan sejarah tersendiri dalam dunia hiburan tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif Afjets, Amrul Nizar Anuar berkata, konsert itu bakal menampilkan sesuatu di luar jangkaan untuk peminat-peminat kumpulan rock popular itu sejajar dengan nilai RM2 juta yang diperuntukkan oleh penganjur dan penaja bagi menjayakannya.

“Kos sebanyak ini diperlukan bagi penganjuran sebuah acara yang berskala besar sebegini. Berlainan dengan konsert-konsert sebelum ini, diharapkan para peminat akan bersabar menantikan kejutan yang akan dipersembahkan oleh kumpulan legenda tersebut.

“Apa yang pasti, ia bakal menjadi konsert bersejarah untuk Search dan peminat mereka sendiri. Beberapa aktiviti berbentuk tribute flashback akan diadakan bersama peminat Search yang bakal menawarkan hadiah-hadiah menarik bagi tujuan mempromosikan konsert tersebut,” katanya pada sidang akhbar Konsert Search 35 Tahun di sini malam tadi.


Sidang akhbar ini turut dihadiri oleh kelima-lima anggota kumpulan tersebut termasuk Amy dan Yazid yang sebelum ini dikatakan agak renggang.

Dalam pada itu, vokalis Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, konsert itu adalah cerminan penghargaan daripada setiap anggota Search buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong selama ini.

“Perancangan konsert ini sudah bermula empat bulan lalu dan setakat ini persiapan sudah hampir 50 peratus disiapkan. Pentas dan susunan muzik pastinya berbeza daripada konsert sebelum ini iaitu pada 2004.

“Akan ada gimik namun, biarlah rahsia dulu. Apa yang mampu saya beritahu, ada persembahan udara dan juga lain-lain. Malah, perancangan kami untuk membuat jelajah untuk mempromosikan konsert ini tetapi akan dimaklumkan kemudian,” katanya.


Kemunculan pemain deram, Yazid dalam konsert itu juga dijangka menjadi kekuatan yang sekali gus mengukuhkan semula hubungan antara ahli kumpulan berkenaan yang dilihat agak bermasalah sebelum ini.

Masalah itu ekoran pelbagai kritikan Yazid terhadap anggota Search yang dikatakan bertindak seperti ‘meminggirkan’ dirinya semenjak terlantar sakit dek masalah kegagalan fungsi buah pinggang, lebih tujuh tahun lalu.

“Ini adalah konsert Search, walaupun sakit saya akan beraksi dalam satu segmen khas,” katanya.

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

comments

,