Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Mehmet dapat RM1.1juta, Zainal Abidin Jurulatih Baharu Selangor

su_02.1KUALA LUMPUR – Mehmet Durakovic sudah tidak bersama The Red Giants lagi, menurut sumber yang rapat dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Sumber itu memberitahu jurulatih itu sudah meninggalkan Malaysia semalam selepas bercuti dan menyelesaikan urusannya di negara ini.

Sumber itu juga memberitahu, Selangor telah membayar pampasan baki kontrak Mehmet yang berjumlah kira-kira RM1.1 juta termasuk bonus minggu lalu.

Katanya perbincangan antara FAS dengan Mehmet telah selesai dan dia berlepas pulang ke Australia.

Menurut sumber itu, Zainal Abidin Hassan akan diumumkan sebagai jurulatih baharu minggu depan.

“Mehmet berangkat pulang ke negaranya hari ini selepas FAS bersetuju membayar pampasan dan bonus berjumlah RM1.1 juta.

“Jurulatih baharu iaitu Zainal Abidin akan di­umumkan minggu depan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagaimanapun, Mehmet ketika ditanya menerusi pesanan ringkas berkata: “Salam kawan, saya masih di Malaysia, saya sedang bercuti bersama keluarga dan rakan-rakan.”

Soalan seterusnya kemudian tidak dijawab.

Pengumuman Zainal Abidin sebagai pengendali baharu The Red Giants tertangguh berikutan terdapat isu yang perlu diselesaikan oleh FAS dengan Meh­met.

Selangor tersepit dengan keadaan kerana mereka dilaporkan telah menandatangani kontrak dengan jurulatih baharu pada Oktober lalu setelah tidak yakin Mehmet mampu memenuhi sasaran memenangi trofi untuk mereka.

Bagaimanapun, kejayaan The Red Giants mencapai Misi 33 de­ngan menjulang Piala Malaysia setelah mengalahkan Kedah 2-0 dalam perlawanan akhir pada 12 Disember lalu mengembalikan peminat Selangor di belakang bekas pemain Selangor pada 1990-an itu.

FAS kemudian didakwa cuba memujuk Mehmet untuk me­nerima jawatan pengarah teknikal yang ditolaknya.

Pengurus Selangor, Amirudin Shari sebelum ini juga gagal menafikan bahawa khidmat Mehmet bakal ditamatkan.

Walaupun tidak mengesahkan pasukan Selangor akan dibimbing jurulatih baharu, tetapi dia mengesahkan pihaknya sedang bercakap dengan Mehmet tetapi tidak memaklumkan agenda perbincangan.

Amirudin juga, walaupun tidak mengiakan pelantikan Zainal Abidin, tetapi turut tidak menafikan.

Spekulasi Zainal Abidin adalah jurulatih pilihan FAS semakin kuat selepas Selangor mengikat kontrak dengan empat pemain yang pernah berada di bawah bimbingannya ketika di Pahang.

Zainal Abidin juga telah mengesahkan bahawa dia akan melatih sebuah pasukan di Lembah Klang untuk berada bersama keluarganya.

“Saya sedang mempertimbangkan tawaran daripada salah sebuah pasukan di Lembah Klang. Ini akan membolehkan saya berada bersama keluarga, dan memudahkan saya untuk menguruskan majlis perkahwinan anak saya nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Kuantan sempena majlis perpisahannya minggu lalu.

Sumber rapat dengan FAS itu berkata, pengurusan baharu Selangor yang tidak memiliki pe­ngalaman kini telah belajar daripada kesilapan mereka kerana tergesa-gesa menandatangani kontrak dengan jurulatih baharu.

“Pengurusan baharu FAS ini kurang pengalaman, jadi mereka tergesa-gesa dalam bertindak. Mereka jumpa jurulatih baharu dan menyatakan minat, kemudian terus tandatangan kontrak. Mereka tidak boleh berpatah balik kerana kontrak telah ditandatangan, jadi mereka terpaksa teruskan dan perlu bayar pampasan setahun gaji serta bonus kepada Mehmet,” kata­nya.

Sumber Utusan

(Visited 7 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,