Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

FAM Beri Amaran ‘Dilarang Merokok’ Kepada Safee Sali

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi amaran keras kepada penyerang kebangsaan, Safee Sali supaya tidak merokok dalam kem kebangsaan ketika kempen Piala AFF sedang berlangsung.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, penyerang itu sudah meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya, namun sekiranya dia ditangkap melakukan perkara tersebut sekali lagi tin­dak­an tatatertib akan dikenakan.

“Safee sudah minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya. Kami juga sudah mengeluarkan amaran lisan kepadanya, jika dia buat lagi perkara yang sama tindakan tatatertib akan dikenakan, berkemungkinan didenda.

“Ia menjadi satu pengajaran kepada pemain lain kerana mereka adalah idola kepada rakyat Malaysia. Kita mahu pastikan keharmonian dalam pasukan kita.

“Kita juga mahu atlet kita selain daripada berjaya, mereka juga dapat tunjuk imej baik kepada masyarakat,” katanya semalam.


Sebelum ini, gambar Safee sedang merokok di tempat umum di Si­ngapura tersebar di laman sosial sehingga mencetus reaksi negatif dalam kalangan peminat.

Sementara itu jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh berkata, fokus Safee tidak terganggu ekoran insiden itu, sebaliknya le­bih bersemangat untuk membuktikan kemampuan.

“Dia (Safee) cakap, dia tiada niat untuk mencalarkan imej pasukan. Tetapi disebabkan itu, dia berjanji akan buat lebih baik ketika berdepan Singapura.

“Dan betullah, dia telah buktikan dengan menunjukkan prestasi yang dah lama saya tunggu,” kata Dollah.


Dollah turut menagih magis Norshahrul Idlan Talaha dan percaya penyerang yang mesra de­ngan panggilan Mat Yo itu mampu bangkit dalam separuh akhir.

“Hari itu saya ada bincang de­ngan dia (Mat Yo). Dia kata ‘saya belum buat jaringan, tapi saya selalu membuat jaringan pada hari yang penting (separuh akhir)’.

“Bagi saya, bukan gol yang penting untuk menunjukkan ­prestasi, tetapi membawa kemenangan,” katanya.- Utusan

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , , ,