Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Skuad Bawah 16 mampu pergi jauh – Pengurus

10703689_659436660819768_4097968799600598009_nSEPANG – Misi melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun di Chile pada tahun 2015 sudah musnah namun perjalanan skuad Bawah 16 negara tidak harus terhenti selepas mereka tersingkir di pentas suku akhir Kejohanan Asia Bawah 16 Tahun di Bangkok kelmarin.

Itulah harapan daripada pengurus skuad, Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor yang mahu skuad itu dikekalkan dalam tempoh jangka panjang dan diberikan pendedahan yang lebih meluas selepas mencipta sejarah apabila menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik Asia bagi skuad bawah 16 tahun.

Katanya, potensi yang ditunjukkan oleh skuad dikendalikan S. Balachandran itu membuktikan bahawa bola sepak di negara ini masih ada masa depan yang cerah.


“Pihak yang mempunyai kuasa, terutama Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM, perlu mengambil tindakan sewajarnya. Mereka perlu duduk semeja dan berbincang serta melihat apa yang perlu dilaksanakan untuk pasukan ini.

“Perancangan mesti sentiasa berterusan.

“Kita mesti memilih pendekatan yang sama kerana semua orang mengakui budak-budak ini ada potensi, jangan biarkan bakat mereka mati begitu sahaja.


“Saya bukannya bermaksud memuji secara keterlaluan tetapi semua pihak mengakui mereka semua ada potensi dan masa depan bola sepak Malaysia sememangnya amat cerah,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekembalinya mereka dari Bangkok semalam.

Skuad Bawah 16 negara tewas 1-2 kepada Australia pada suku akhir walaupun mendahului hasil jaringan R. Kogileswaran pada minit ke-30.

Kejayaan mara ke suku akhir adalah yang terbaik sepanjang penyertaan Malaysia dalam kejohanan Bawah 16 AFC setelah melakar dua kemenangan di peringkat kumpulan.

BxjpL5RCAAEWPPs

Pulang selepas tersingkir di Suku Akhir AFC U16 Championship

Malah, tahap persembahan pasukan negara tidak jauh dengan satu lagi pasukan yang layak ke separuh akhir iaitu Korea Selatan.

Skuad negara hanya tewas 0-1 kepada Korea Selatan selain Australia yang sebelum itu mudah meratah Jepun 4-2.

Sementara itu, Balachandran berkata, perjuangan mereka masih belum selesai dan sasaran kini ialah anak-anak buahnya akan menyerlah dalam Kejohanan Asia Bawah 19 Tahun pada 2016, seterusnya layak ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun.

“Pemain saya telah beraksi sebagaimana yang saya mahukan.

“Kami sebenarnya boleh menyaingi Australia, cuma dalam tempoh 15 minit pihak lawan berjaya mendapatkan gol. Inilah bola sepak walaupun kami bermain dengan baik.

“Mengenai perancangan, terserah kepada FAM cuma saya harap dapat mengekalkan pemain-pemain ini bersama dalam satu pasukan.

“Saya harap mereka diberi pendedahan di dalam saingan liga atau kem latihan, tidak kira di peringkat tempatan atau luar negara,” katanya.

(Visited 5 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,