Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

AS kemukakan bukti Rusia terlibat, Militan mengaku tembak MH17

btn9qhtciaeiykyWASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengemukakan bukti-bukti yang mengaitkan penglibatan Rusia dalam tragedi sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh dekat Grabovo, timur Ukarine pada 17 Julai lalu.

Menurut akhbar The Washington Post semalam, para pegawai kanan perisikan AS turut mendedahkan imej satelit dan beberapa maklumat sensitif perisikan yang menunjukkan Moscow memberi latihan serta membekalkan senjata kepada kumpulan pemisah Ukraine yang didakwa bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

Pegawai-pegawai itu turut mengemukakan bukti lain seperti alat pengesan yang mengesan laluan peluru berpandu, kesan serpihan pada badan pesawat, analisis suara beberapa pejuang pemisah yang mendakwa melancarkan peluru berpandu dan berpuluh-puluh gambar serta data lain dari internet.

Buat pertama kalinya, AS mengenal pasti terdapat kemudahan tentera Rusia berhampiran bandar Rostov yang merupakan pusat sokongan Moscow terhadap para pejuang pemisah di Ukraine.

Kemudahan berkenaan disyaki menjadi hab latihan dan bekalan senjata kepada para pejuang pemisah pro-Rusia.

Menurut para pegawai itu, kereta kebal, pelancar roket dan senjata lain terus dihantar ke Ukraine walaupun selepas pesawat MH17 ditembak jatuh dan mengorbankan seramai 298 penumpang.

Beberapa penganalisis dari Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan AS yang lain turut meneliti maklumat berhubung nahas itu.

Namun, maklumat perisikan yang dikumpulkan dalam tempoh lima hari selepas tragedi tersebut menunjukkan para pejuang pemisah Ukraine yang mendapat sokongan Moscow telah menembak jatuh pesawat itu.

Beberapa pegawai perisikan AS juga berkata, mereka menolak kemungkinan bahawa tentera Ukraine bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.

“Ia merupakan satu senario yang mustahil,” kata seorang pegawai kanan AS.

Ujarnya, agensi-agensi perisikan AS telah mengesahkan bahawa Ukraine tiada sistem peluru berpandu antipesawat yang berada pada jarang pesawat MH17 ketika serangan berlaku.

Pegawai itu turut memberi taklimat kepada wartawan di sini bagi memberi maklumat terperinci terhadap penilaian yang dilakukan agensi perisikan AS.

Pertemuan itu yang turut dihadiri dua lagi pegawai perisikan AS yang diatur bagi mengemukakan lebih banyak bukti bagi menolak dakwaan yang dikemukakan Rusia sebelum ini.

Rusia sebelum ini menafikan mereka terlibat dalam kejadian tersebut atau membekalkan para pejuang pemisah dengan pelancar peluru berpandu antipesawat SA-11.

“Pegawai kami memberitahu bahawa kami menembak sebuah pesawat Kiev. Kami ingatkan kami mencari juruterbang Ukraine yang dikatakan sempat menyelamatkan diri, tetapi kami menemui mayat-mayat orang awam.”

Itu pengakuan yang dibuat oleh seorang anggota militan pro-Rusia dari unit kombat Oplot kepada akhbar Itali Corriere della Sera pada Rabu.

Menurut laporan portal tersebut, mereka menerima arahan untuk bergegas ke sebuah lokasi menggunakan sebuah lori dipenuhi muatan senjata dan peluru sejurus selepas satu letupan kedengaran di udara.

Mereka diberitahu bahawa pasukan mereka telah menembak jatuh sebuah pesawat milik puak fasis Kiev.

“Objek-objek putih kelihatan berterbangan di udara. Kami mungkin perlu bertempur untuk mengumpulkan objek-objek terbabit.” ujar anggota Oplot terbabit yang enggan mendedahkan namanya serta nama sekutunya.

Dia turut memberitahu bahawa ketika mereka mencari payung terjun di tanah dan pokok, dia menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan yang berusia tidak lebih dari lima tahun.

“Mayat itu tertiarap. Ia sangat mengerikan. Itulah ketikanya saya sedari bahawa pesawat yang ditembak itu ialah sebuah pesawat komersial dan bukan pesawat tentera.

Semua mangsa ialah orang awam. Beberapa beg pakaian mengesahkan jangkaan saya.” tambahnya.

Unit Oplot ini telah berada di lokasi nahas sejak tragedi itu berlaku.

Menurut portal Corriere della Sera, mereka bagaimanapun tidak menunjukkan rasa bersalah apabila mengeluarkan kenyataan bahawa bukan mereka sahaja yang menembak jatuh pesawat terbabit serta tidak mempunyai senjata yang mampu mencapai ketinggian pesawat itu.

“Jenayah ini dilakukan oleh penjahat yang menerima arahan daripada kerajaan Kiev. Salah seorang pejuang mereka mungkin menembak jatuh MH17,” kata mereka.

Pengkuan ini dibuat selepas lima hari pemimpin puak pemisah pro-Rusia Igor Girkin memuat naik di laman sosial bahawa mereka terlibat dengan nahas terbabit dan mereka yang menembak jatuh pesawat malang itu.

Muat naiknya berbunyi: “Kami telah menembak jatuh sebuah AN-26, ia kini berada di sekitar ‘Progress’. Kami telah memberi amaran kepada kamu – jangan terbang di ‘ruang udara kami’. Ini video pengesahan ‘kejatuhan burung’ itu.”

Muat naik itu bagaimanapun dipadam setelah pesawat yang ditembak jatuh itu merupakan sebuah pesawat komersial yang dinaiki orang awam.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,