Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Mat Yo antara digugurkan menentang Yemen

PENYERANG Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha digugurkan menjelang aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Yemen di Stadium Tahnoun Mohamed, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Rabu ini.

Bagaimanapun, pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee enggan perkara itu disensasikan oleh mana-mana pihak.

Sebaliknya, Kim Swee berkata, beliau membuat keputusan itu kerana hanya akan membawa 24 pelatih untuk berdepan Yemen berbanding senarai penuh 28 pelatih Harimau Malaya yang dipanggil menjalani latihan sebelum ini.

“Mat Yo (Norshahrul) sah digugurkan kerana saya hanya membawa seramai 24 pelatih ke Dubai.

“Selain Mat Yo, tiga lagi pemain yang digugurkan kali ini termasuklah Junior (Eldstal), Shakir (Shaari) dan juga penjaga gol, Khairul Azhan (Mohd. Khalid) yang mengalami kecederaan ketika berdepan Filipina,” katanya kepada Kosmo! sebelum berlepas ke Dubai petang semalam.

Malam kelmarin, Kim Swee turut mengenepikan Mat Yo ketika Harimau Malaya seri tanpa jaringan dengan Filipina dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dalam pertemuan itu, Kim Swee meletakkan dua penyerang – Safee Sali dan Bobby Gonzales dalam kesebelasan utama sebelum memasukkan Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saari pada babak kedua.

Mengulas pertemuan menentang Yemen, Kim Swee sekali lagi menegaskan bahawa perancangannya tetap tidak terjejas biarpun tanpa kehadiran Mat Yo.

“Saya sudah memiliki penyerang yang mencukupi iaitu Safee, Bobby dan Fakri.

“Selain itu, beberapa pemain lain seperti Baddrol dan Amri (Yahyah) juga berupaya menjadi penyerang yang baik,” kata beliau.

Terdahulu, penyerang sensasi Johor Darul Takzim itu mengejutkan ramai pihak apabila tidak hadir menyertai sesi latihan pertama Harimau Malaya pada 19 Februari lalu atas alasan mahu mengerjakan umrah selain berdepan masalah peribadi.

Difahamkan, dia hanya mengemukakan surat rasmi berhubung perkara itu kepada pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal sehari kemudian.

Namun, Mat Yo akhirnya membuat ‘pusingan U’ apabila kembali menyertai latihan bersama Harimau Malaya seminggu kemudian.

Natijahnya, Mat Yo didenda RM5,000 ekoran gagal melaporkan diri pada kem latihan skuad kebangsaan dan langkah tersebut merupakan amaran keras terhadap mana-mana pemain yang mengabaikan tanggungjawab apabila dipanggil menyertai skuad negara.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , , ,