Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Liga Super: Penyerang import ungguli penjaring terbanyak

Kuala Lumpur: Lima tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Super diisi pemain import, Paulo Rangel (Selangor), Luciano Figueroa (Johor Darul Ta‘zim), Mohamad Ghaddar (Kelantan), Khairul Amri (LionsXII) dan Dickson Nwakaeme (Pahang).

Apa rasa pemain tempatan terutamanya yang bergelar penggempur bersama pasukan masing-masing apabila melihat kepada senarai berkenaan? Mungkin ada yang tidak merasa apa-apa dengan perkara itu tetapi tidakkah kita terfikir sampai bilakah pasukan yang bersaing di dalam Liga-M khususnya Liga Super selaku saingan tertinggi bola sepak negara, perlu bergantung kepada awang import untuk merobek gawang lawan.

Bagi pemain tempatan yang masih mempunyai semangat untuk terus maju di dalam karier masing-masing, mungkin mereka menganggap senarai itu sebagai satu cabaran untuk mereka menjaringkan lebih banyak gol dan jika itulah keadaannya, tahniah kerana anda pastinya bergelar penggempur hebat satu hari nanti.

Apa yang dibimbangkan ialah andai ia langsung tidak memberi kesan kepada pemain penyerang dan alasan popular yang bakal diluahkan hanyalah: “Yang penting pasukan kami menang. Tidak kiralah siapapun yang menjaringkan gol.”





Memang tidak salah jika kita mengharapkan pemain import menjaringkan gol kerana itu sudah menjadi tanggungjawab mereka selaku pemain yang menerima habuan besar sebagai gaji bulanan tetapi persoalannya, sampai bilakah kita mahu terus mengharapkan mereka?

Ini liga kita dan sepatutnya ia sudah lama melahirkan penyerang berkualiti, bukan setakat seorang dua saja.

Jadikan Liga Perdana Inggeris sebagai contoh. Di sebalik kehebatan dipamerkan Luis Suarez, Robin van Persie, Mesut Ozil, Yaya Toure Sergio Aguero (sekadar beberapa nama), pasti ada penyerang Inggeris yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bintang berkenaan.

Wayne Rooney, Raheem Sterling dan Theo Walcott adalah penyerang tempatan dan ada kalanya, aksi mereka lebih menyerlah berbanding penyerang import.

Itulah yang sepatutnya dicontohi pemain kita – semangat untuk bersaing dan membuktikan bahawa kita juga boleh diharapkan untuk merobek gawang dan bukan sekadar goyang kaki di bangku simpanan.

Jurulatih juga perlu memainkan peranan dalam membangunkan penyerang tempatan dan apa salahnya kalau sesekali memberi peluang kepada anak tempatan membuktikan kebolehan mereka.

Jika dilihat kepada skop yang lebih dekat, LionsXII adalah contoh terbaik kerana menggunakan sepenuhnya tenaga anak tempatan untuk bersaing di dalam Liga Super.

Bayangkan betapa untungnya LionsXII apabila setiap minggu, mereka didedahkan dengan ancaman penyerang yang mewakili pelbagai skuad di Liga Super dan jangan terperanjat andai satu hari nanti, Malaysia akan lebih sukar untuk mengalahkan Singapura dalam apa juga pertandingan.

Ketika persoalan itu diajukan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemain tempatan seharusnya mengambil peluang yang ada untuk bersaing dengan penyerang import kerana itu antara sebab mengapa penggunaan tenaga import kembali dibenarkan di Liga-M.

“Memang ketika ini penyerang import dilihat lebih menyerlah tetapi kami di FAM mengharapkan supaya pemain kita berusaha sebaik mungkin untuk bersaing dengan mereka. Jangan terlalu mengharapkan pemain import untuk menjaringkan gol sebaliknya pemain kita harus turut sama berbuat demikian.

“Apa yang boleh kami harapkan ialah pemain tempatan perlu lebih bijak dan belajar daripada pemain import masing-masing mengenai kaedah terbaik untuk menjaringkan gol. Tidak mustahil satu hari nanti, kita turut mempunyai penggempur berkaliber dan ia pernah dibuktikan satu masa lalu,” katanya. – HMetro

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,