Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

FAS kemuka aduan rasmi kepada FAM

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung pengadil, Sukri Abdul Rahman yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur lucah kepada kapten Sarawak, Joseph Kalang Tie.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi telah menghantar surat kepada FAM kelmarin untuk diambil perhatian sewajarnya.

Mohamad Abu Bakar yang juga pengurus pasukan Sarawak menegaskan, kini terpulang kepada FAM untuk mengambil tindakan lanjut berhubung insiden tersebut.

“Bagi kami (FAS), perkara itu memang diambil serius. Para pengadil sepatutnya menjaga imej mereka dan perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

“Kami berharap FAM akan mengambil tindakan lanjut berhubung aduan rasmi kami itu agar memberi pengajaran kepada semua pihak pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita di Kuching semalam.

Kelmarin, dilaporkan Kalang telah mengadu kepada ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts bahawa Sukri telah mengeluarkan perkataan berbaur lucah kepadanya sejurus tamat aksi Liga Super menentang Perak di Stadium Negeri, Kuching Sabtu lalu.

Sukri didakwa mengeluarkan perkataan tersebut selepas Kalang meminta penjelasan kepadanya berhubung beberapa tindakan yang diambil oleh pengadil terbabit ketika mengendalikan perlawanan.

Sementara itu, akhbar semalam melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati hanya terdapat salah faham berhubung insiden tersebut.

Astaman berkata, Kalang berkemungkinan tersalah dengar seolah-olah perkataan itu berbaur lucah.

“Saya difahamkan Sukri menyebut ‘You selalu kacau’ tetapi pemain berkenaan (Kalang) mungkin salah dengar. Apa pun, kalau ada kesalahan etika, kami akan ambil tindakan,” katanya. – Kosmo

Comments

comments

, , ,