Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Liga Perdana: Harimau Kumbang dilanda rasuah?

PULAU PINANG – Walaupun kes mengatur perlawanan melibatkan skuad Kuala Lumpur belum selesai, kini sudah timbul cakap-cakap gejala itu merebak ke dalam skuad Harimau Kumbang apabila Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) semalam mengesahkan akan menyiasat kemungkinan itu.

Ini ekoran kekalahan pasukan berkenaan dengan gaya memalukan 1-5 kepada PDRM dalam perlawanan Liga Perdana pada Isnin lalu.

Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff berkata, keputusan berkenaan dianggap memalukan selepas pengurusan melakukan persiapan rapi untuk membentuk pasukan mantap bagi menghadapi persaingan musim ini.

“Saya berasa malu dan geram dengan keputusan itu, dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap pemain yang tidak komited terhadap pasukan.

“Ketika ini, Jawatankuasa Integriti FAP sedang menjalankan siasatan dan mengumpul bukti berhubung dakwaan wujud perbuatan mengatur perlawanan yang ditimbulkan menerusi laman sosial sejurus kekalahan berkenaan.

“Sesiapa yang terlibat, saya janji mereka tidak akan terlepas kerana telah memalukan nama bola sepak Pulau Pinang secara tidak langsung selain mengecewakan harapan menggunung peminat.

“Walaupun kecewa, saya masih yakin pasukan Pulau Pinang adalah sebuah pasukan yang bagus dan kami akan berjaya dalam perlawanan-perlawanan selepas ini,” katanya di sini semalam.

Skuad Harimau Kumbang, yang muncul juara Liga FAM musim lalu untuk kembali ke Liga Perdana musim ini, bermula dengan langkah meyakinkan apabila membenam Sabah 3-1 dalam perlawanan sulung serta dianggap antara pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan pada musim ini selepas mendapat beberapa pemain berpengalaman.

Antara nama-nama besar yang menyertai Pulau Pinang adalah Yong Kuong Yong, Azizan Baba, G. Mahathevan dan Mohd. Shazuan Ashraf Matthews selain kehadiran pemain import Brazil, Hilton Moreira.

Bagaimanapun, penyokong setia mereka tersentak di Stadium Petaling Jaya dengan kekalahan besar kepada PDRM FC pada Isnin lalu sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.

Aksi longlai yang dipamerkan oleh beberapa pemain termasuk melepaskan gol-gol mudah jelas sukar diterima bukan sahaja oleh penyokong, tetapi juga pihak pengurusan FAP.

Menurut Nazir, pihak pengurusan akan mengambil tindakan drastik, termasuk menyingkirkan pemain jika terbukti mereka terlibat dalam gejala berkenaan. – Utusan

(Visited 3 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,