Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Liga M: Kedah, PKNS bermula garang

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) — Wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS FC bangkit mencatatkan kemenangan selepas menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 pada aksi tunggal Liga Super Jumaat malam yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu yang kalah 1-2 kepada Terengganu, Sabtu lepas berjaya mengutip tiga mata hasil jaringan tunggal Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-84.

Dalam pada itu, Kedah membuka saingan Liga Perdana 2014 dengan langkah kanan selepas mencatatkan kemenangan selesa 4-1 ke atas jiran mereka, Perlis di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Mereka bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal Mohd Farizal Rozali pada minit ke-21 sebelum bangkit dengan menjaringkan empat gol masing-masing menerusi Baddrol Bakhtiar pada minit ke-32, Billy Mehmet (36′(penalti) dan 80′) dan Mohd Syazwan Zainon (43′).

Pendatang baharu, Pulau Pinang yang muncul juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia, musim lepas turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Sabah 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Bekas penyerang Harimau Muda A, Md Rozaimi Abd Rahman mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol seawal minit ke-10 sebelum Pulau Pinang bangkit dengan tiga gol menerusi Mohamad Zharif Hasna (minit ke-44 dan 63) serta Hilton Mauro Moreira (60′).

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan mengalahkan DRB-Hicom FC dengan kemenangan tipis 2-1.

Josef Kaplan muncul wira skuad Rusa selepas meledak dua jaringan masing-masing pada minit ke-32 dan 52′ sebelum pasukan lawan mengurangkan defisit jaringan menerusi Ogunboye Iyanul Ezekial pada minit ke-56.

Felda United FC pula berkongsi satu mata dengan wakil kelab Pulau Pinang, PBAPP FC selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Nasib berbeza dialami SPA Putrajaya FC dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) selepas kalah kepada lawan masing-masing di halaman sendiri.

SPA Putrajaya tewas 0-1 kepada UiTM FC di Stadium Hang Jebat, Melaka hasil jaringan tunggal Obi Ikechukwu pada minit ke-69.

JDT II pula kalah mengejut 1-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sentuhan penyudah penyerang import dari Sepanyol, Braulio Nobrega Rodriguez pada minit ke-23.

Mereka bagaimanapun beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-36 selepas penjaga gol mereka, K. Sasikumar dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan kerana mengasari pemain lawan, Bobby Gonzalez di luar kotak penalti.

Kesempatan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya pasukan lawan kendalian Dollah Salleh yang berjaya menjaringkan tiga gol masing-masing menerusi Mohd Afif Amiruddin pada minit ke-50, Bobby (59′) dan Mohd Fadhil Mohd Hashim (62′). — BERNAMA

Highlights

Kedah v Perlis

Selangor PKNS v ATM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,