Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

FAM berhak tentukan jurulatih – Khairy

TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhak membuat keputusan sama ada mahu mendapatkan khidmat jurulatih dari Perancis, Philippe Troussier bagi membimbing skuad Harimau Malaya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata tindakan jurulatih berusia 59 tahun itu yang tidak mahu FAM meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi atau KPI sebagai tidak masuk akal.

“Mana boleh jurulatih itu tidak mahu FAM letak KPI untuk beliau menjadi jurulatih pasukan negara,” katanya sebagai mengulas keengganan FAM untuk meneruskan perbincangan dengan Troussier selepas bekas pengendali Jepun itu meletakkan pelbagai syarat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan dan Kebudayaan MAYC peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Menurut sumber wartawan Perancis, Troussier yang ditawarkan kontrak tiga tahun membimbing skuad Harimau Malaya, telah berunding dengan pihak teratas FAM bagi membincangkan hala tuju bola sepak negara di ibu negara.

Begitupun, perbincangan itu tidak menemui jalan penyelesaian apabila syarat yang ditetapkan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Antara syarat terbabit termasuklah jika beliau tidak berpuas hati dengan permukaan padang, prestasi pemain mahupun pasukan atau mana-mana perkara berbangkit, Troussier mahu kontrak tersebut ditamatkan dengan segera.

Selain itu, Khairy berkata jurulatih antarabangsa itu mahu memastikan dia berhak menamatkan kontraknya bila-bila masa selepas setahun berkhidmat dengan bayaran penuh selama tempoh kontrak.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menggunakan sistem penarafan mulai pertengahan tahun ini untuk memberi bantuan kepada persatuan belia.

Beliau berkata, peruntukan kepada persatuan belia akan berdasarkan kepada kriteria prestasi, keaktifan dan program yang dijalankan.

Selain itu, katanya, kementerian juga turut memberi peruntukan kepada Majlis Belia Negeri dan Daerah setiap tahun untuk urusan pentadbiran. – BERNAMA

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,