Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

FAM belum buat keputusan, Tidak ‘tolak’ pandangan Khairy

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan menolak mentah-mentah pandangan Khairy Jamaluddin, yang mempersoalkan kewajaran Malaysia mengambil jurulatih berprofil tinggi seperti Philippe Omar Troussier untuk membimbing skuad kebangsaan.

Sebaliknya, badan induk bola sepak kebangsan itu akan memberi perhatian kepada teguran Menteri Belia dan Sukan tersebut, biarpun pada dasarnya jurulatih kelahiran Perancis itu masih menjadi calon utama mereka untuk menggantikan Datuk K. Rajagobal.

‘‘Apa yang diperkatakan oleh Menteri Belia dan Sukan mengenai pengambilan jurulatih import akan diambil perhatian oleh FAM tetapi satu perkara yang mahu diingatkan, kami masih belum buat sebarang keputusan mengenai pelantikan jurulatih baharu Harimau Malaya, jadi tidak perlu saya ulas panjang.

‘‘Sama ada kita akan mengambil jurulatih import atau sebaliknya, tunggulah dengan sabar.. kerana tiada perkara yang dimuktamadkan lagi dan banyak aspek perlu dinilai, belum pasti lagi kita akan ambil (jurulatih import).

‘‘Malah, siapa pilihan A, B atau C daripada pihak FAM, kita sudah ada..cuma tunggulah dahulu, itu sahaja saya mahu komen buat setakat ini, ” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Khairy kelmarin berkata, secara dasarnya beliau tidak bersetuju dengan pilihan FAM untuk mendapatkan khidmat Troussier sambil mencadangkan segala perbelanjaan wajar disalurkan kepada program pembangunan akar umbi.

Beliau juga beranggapan keperluan mendapatkan khidmat jurulatih bertaraf dunia dilihat bukan satu keperluan mendesak buat Malaysia kerana tidak berdepan mana-mana kejohanan besar dalam masa terdekat.

Baginya, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki ekoran kumpulan bakat pemain yang dimiliki oleh negara terhad dan tidak banyak mampu dilakukan oleh jurulatih kebangsaan yang dilantik untuk memperbaiki prestasi dalam masa yang singkat.

Troussier, bekas pengurus Jepun yang membawa negara matahari terbit itu mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002.

Selain membantu Jepun menjuarai Piala Asia 2000, beliau juga dianggap kaya dengan pengalaman kerana pernah membimbing Nigeria, Afrika Selatan dan Burkina Faso selain Qatar. – Utusan

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,