Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Asean belum bersedia untuk hos Piala Dunia 2034 – Peter Velappan

KUALA LUMPUR, 30 Jan  — Banyak aspek perlu diteliti sebelum negara-negara Asean bersepakat mahu meneruskan cadangan membida Piala Dunia 2034 sebagai tuan rumah bersama, menurut bekas setiausaha agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan.

Beliau berkata rancangan 10-negara Asean tersebut disulami dengan pelbagai kesukaran dan cabaran, antaranya daripada aspek logistik, standard bola sepak di rantau ini, cabaran diplomatik dan kemampuan ekonomi.

Selain itu, rancangan membida itu mengundang pelbagai perbahasan antaranya tugas rumit untuk memutuskan di manakah perlawanan pembukaan diadakan, negara mana menjadi tuan rumah perlawanan final dan negara mana layak secara automatik.

Velappan, yang memegang jawatan sebagai setiausaha agung AFC dari 1977 hingga bersara pada 2007, merupakan Pengarah Koordinasi Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia 2002 di mana Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah bersama.

Beliau menegaskan negara pembida juga perlu merangka satu rangka kerja khusus meliputi penyediaan kemudahan awam seperti pengangkutan selain kemampuan negara berkenaan menampung kedatangan pelancong luar yang hadir menyaksikan Piala Dunia.

Di samping syarat-syarat asas, katanya Malaysia perlu memperbaiki ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) supaya dapat bertapak dalam kalangan negara-negara di peringkat tertinggi sukan itu.

“(Sebagai contoh), skuad bola sepak negara mampu mengatasi Jepun dan Korea Selatan pada era 60 dan 70-an tapi sekarang taraf (bola sepak) kita terlalu rendah.

“Bagi saya, bidaan itu hanya impian semata-mata sebab pasukan-pasukan (Asia yang lain) sudah mencapai taraf ke Piala Dunia (berbanding pasukan kita),” katanya kepada Bernama Khamis.

Velappan berkata FIFA berkemungkinan sangsi untuk menerima bidaan Asean memandangkan jumlah bilangan negara yang terbabit.

“FIFA kebiasaanya mengesyorkan dua negara untuk menganjurkan sesebuah kejohanan bola sepak berprestij termasuk Piala Dunia…Sekiranya lebih (daripada dua), ia akan menyukarkan tugas mereka (FIFA) untuk menyelaraskan kerja di peringkat jawatankuasa itu sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata Malaysia secara dasarnya bersetuju mengenai bidaan tersebut namun mereka perlu menunggu keputusan daripada negara anggota Asean yang lain sebelum tawaran dapat dikemukakan kepada FIFA.

Beliau turut berkata persetujuan awal mengenai bidaan berkenaan telah dicapai pada Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan Asean di Laos, Disember lepas. — BERNAMA

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,