Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Status Amirulhadi undang misteri

STATUS sebenar tonggak Pahang, Amirulhadi Zainal terus mengundang tanda tanya banyak pihak biarpun dia telah menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT) bagi saingan musim depan.

Ini kerana Amirulhadi diperkenalkan sebagai salah seorang pemain baharu Johor DT dalam satu majlis rasmi di Stadium Tan Sri Hj. Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzeimi Ibrahim berkata: “Maaf… buat masa ini kami tidak boleh memberikan apa-apa kenyataan.”

Sebelum ini, Amirulhadi membayangkan mahu kekal menabur bakti bersama Tok Gajah selepas berjaya menamatkan kemarau Piala Malaysia selama lebih dua dekad apabila menewaskan juara bertahan, Kelantan 1-0 di pentas final pada awal bulan lalu.

Namun, kehadirannya ketika Johor DT berdepan Tampines Rovers pada aksi persahabatan minggu lalu mengundang tanda tanya peminat tempatan terutama penyokong setia Harimau Selatan.

Ada juga dalam kalangan peminat yang mendakwa bahawa penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo akan menyertai Pahang musim depan sebagai pertukaran dengan Amirulhadi.

Ketiadaan Mat Yo ketika majlis rasmi kelmarin juga menghangatkan lagi spekulasi berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat laporan yang mengatakan Mat Yo tidak dapat hadir pada majlis tersebut disebabkan dia disyaki menghidap demam denggi dan dirawat di Hospital Pakar Johor (KPJ).

Ketika ditanya sama ada bakal berlakunya pertukaran ‘suka sama suka’ antara PBNP dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Fuzzeimi juga enggan mengulas lanjut.

“Buat masa ini, kami belum mengenal pasti tarikh sebenar majlis pengenalan jersi baharu pasukan Pahang dan barisan skuad 2014.

“Ia dijangka diadakan di Kuala Lumpur sekitar bulan depan,” jelas Fuzzeimi.

Dalam perkembangan lain, Fuzzeimi mengesahkan pelantikan jurulatih baharu Pahang, Ronald Smith bagi menggantikan Dollah Salleh yang berhijrah ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) musim depan. – Kosmo

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

,