Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Rajagobal cabar bakal penggantinya!

DATUK K. Rajagobal sah akan meninggalkan skuad Harimau Malaya apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan menyambung kontraknya yang akan tamat pada 31 Disember ini.

Mengakui menerima keputusan itu dengan cukup profesional, Rajagobal berharap pengganti beliau nanti mampu melakar pencapaian lebih baik ketika membimbing Harimau Malaya.

“Bukan mudah untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan… tetapi saya tidak pernah menyesal walau sesaat.

“Jurulatih baharu juga harus lebih bagus dan mampu menetapkan penanda aras yang lebih tinggi serta meneruskan legasi kejayaan skuad negara,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Sebagai rekod, Rajagobal yang dilantik mengendali Harimau Malaya pada 20 April 2009, berjaya membantu menamatkan penantian selama 20 tahun bagi memburu ‘ibu emas’ Sukan SEA dalam tahun yang sama.

Setahun kemudian, beliau membantu Harimau Malaya muncul juara Piala Suzuki AFF selepas membenam Indonesia di pentas final.

Kontrak Rajagobal tidak lagi disambung selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 24 November lalu memutuskan bahawa sudah sampai masanya Harimau Malaya mendapat sentuhan jurulatih luar atau sesiapa yang boleh membawa sumbangan yang lebih besar.

Rajagobal sempat juga meninggalkan pesan kepada pengendali sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 berdepan Yemen pada 5 Mac tahun depan.

“Terserah kepada beliau (Kim Swee), saya tidak akan campur tangan dan mengucapkan selamat maju jaya.

“Biarpun tampak tipis, saya percaya skuad negara masih berpeluang layak ke Piala Asia,” kata beliau.

Raja tidak berdendam dan menyesal

Ketika ditanya mengenai destinasinya selepas ini, Rajagobal menjelaskan, beliau hanya mahu berehat seketika daripada bola sepak.

“Sebelum ini, saya hanya memikirkan tentang bola sepak.

“Jadi, saya mahu menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga terutamanya isteri yang banyak berkorban selama ini.

“Buat masa ini, saya belum menerima mana-mana tawaran, selepas ini saya tidak tahu,” katanya.

Rajagobal juga enggan ‘memulangkan paku buah keras’ kepada mana-mana pihak terutama beberapa bekas pemain kebangsaan yang selama ini lantang mengecam corak taktikal dan pemilihan pemain yang dilakukan beliau.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa… budak tujuh tahun juga boleh kritik.

“Harus diingat, kejayaan tidak hadir dalam satu malam, sebaliknya memakan masa bertahun lamanya.

“Jadi, mereka (pengkritik) wajar tampil ke depan dan membantu memajukan bola sepak negara,” jelas Rajagobal.

Datuk K. Rajagobal sedia untuk kembali bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada masa hadapan, sekalipun badan induk itu sudah memutuskan untuk tidak menyambung khidmatnya sebagai ketua jurulatih negara selepas 31 Disember ini.

“Mestilah, ini negara saya. Saya akan datang jika mereka buka (peluang) dan ketika itu saya pula ada masa terluang, maka saya akan pertimbangkan dan pastinya tidak akan kata, tidak.

“Mengapa tidak?, jurulatih datang dan pergi, mana-mana tempat pun sama. Tiada apa-apa (kemungkinan merajuk atau berdendam dengan FAM). Saya sebagai profesional (menerima keputusan mereka),” tegasnya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam,

Sejujurnya Rajagobal mengakui, belum ada mana-mana pihak (pasukan Liga Malaysia atau luar negara) yang merisik khidmatnya setakat ini, namun meramalkan keadaan mungkin bertukar selepas pengumumannya pada sidang akhbar semalam.

“Saya kini bercuti panjang. Mahu berada dengan keluarga, terutama isteri yang amat menyokong. Dia yang banyak menguruskan hal keluarga saya sebab saya hanya fikirkan bola sepak, bola sepak.

“Kini saya hanya mahu (luangkan) masa berkualiti dengan keluarga. Saya tidak mahu tergesa-gesa, perkara itu (melatih pasukan lain). Saya sentiasa ada dan kita lihat bagaimana keadaannya kemudian. Saya mahu berehat sekarang,” katanya lagi.

Rajagobal mengendalikan skuad kebangsaan sejak April 2009 selepas pernah menjadi jurulatih sementara pada 2004. Kejayaan terbaiknya ialah Piala Suzuki AFF 2010.

Ditanya mengenai Datuk Ong Kim Swee, yang bertindak sebagai jurulatih sementara, Rajagobal enggan mengulas kerana itu keputusan FAM.

“Itu keputusan FAM, saya hanya boleh katakan, siapa sahaja (tempatan atau luar negara) yang ambil alih, perlu menetapkan tanda aras yang lebih tinggi daripada saya (layak ke Piala Asia).

“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada bakal jurulatih negara, semoga dia mendapat sokongan penuh FAM. Selamat berjaya juga kepada Datuk Kim Swee selepas FAM melantiknya jurulatih sementara.

“Saya masih percayakan pasukan ini, terserah kepadanya apabila membawa pasukan ini. Kita masih ada peluang tipis untuk layak (dengan menentang Yemen, 5 Mac depan). Dia akan memilih pemain yang difikirkan terbaik.

“Jika pasukan ini berjaya (sebagai pasukan tempat ketiga terbaik seluruh Kelayakan Piala Asia), saya akan turut berbangga dan berasa kita cukup bertuah. Saya tidak akan kecewa malah saya akan beli tiket untuk menonton aksi mereka di Australia (pusingan akhir),” ujarnya.

Kepada pemain pula, Rajagobal turut berpesan: “Saya percaya masih ada peluang tipis biarpun ramai yang berkata, tiada harapan. Siapa sahaja jurulatih anda, jangan lari daripada fokus dan fikirlah secara positif.

“Jika lihat keputusan (pusingan akhir Piala Asia 1976 dan 1980), saya fikir inilah keputusan terbaik apabila kita dapat empat mata (tempat ketiga Kumpulan D). Fikir secara besar dan semua orang akan hormati anda.

“Saya tidak tahu mengapa orang mahu menafikan kami. Peluang masih ada jika Lebanon tidak menang dengan Jordan dan China tewaskan Iraq, manakala Malaysia kalahkan Yemen.”

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,