Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Lawak FAM paling kelakar – Khalid Ali

“INILAH ‘lawak’ paling kelakar yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tahun ini.”

Demikian respons bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali ketika diminta mengulas mengenai hukuman yang dikenakan FAM ke atas bekas pemain tengah kebangsaan, Amirulhadi Zainal.

Meskipun didenda sebanyak RM25,000, Amirulhadi dibenarkan menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT).

FAM membuat keputusan tersebut selepas mendapati perjanjian Amirulhadi bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) wujud ‘keraguan’.

Khalid berkata, FAM gagal menjelaskan situasi sebenar sebab utama bekas pemain Selangor itu dibenarkan berhijrah.

Katanya, sudah tiba masanya FAM meneliti peraturan kontrak baharu dengan memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat dan kemas.

“Undang-undang apa ini? Malulah saya. Seolah-olah bola sepak kita ini langsung tidak profesional.

“Dia (Amirulhadi) didenda sebanyak RM25,000 tetapi dibenarkan menyertai Johor DT? Atas sebab kontrak ‘meragukan’? Sepatutnya, FAM kena jelaskan lebih terperinci mengapa perpindahan ini dilaksanakan.

“Pada pendapat saya, perkara ini tidak ditujukan kepada mana-mana persatuan negeri sebaliknya FAM harus bersikap lebih profesional.

“Peminat-peminat bola sepak ingin tahu perkara sebenar dan jika FAM masih mengekalkan pendekatan seperti ini, penyokong-penyokong tidak akan terkejut jika perkara sama ini berulang pada akhir tahun depan.

“Jadi, untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, FAM mendedahkan situasi sebenar atau lebih tepat, laksanakan peraturan dengan lebih berkesan pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Khalid berkata, beliau menasihatkan persatuan atau kelab agar tidak terlalu mengikut kehendak pemain jika sudah tidak memiliki hasrat bersama majikan asal.

“Kalau pemain itu tidak mahu lagi bersama pasukan, lepaskanlah dia. Tiada guna simpan pemain itu dan jika ada baki kontrak, berundinglah dengan cara yang lebih baik.

“Buat satu tempoh masa dengan baik. Lebih baik jika membawa saksi ketika menandatangani kontrak.

“Saya berharap FAM akan lebih tegas dari segi peraturan terutamanya berkaitan dengan masalah kontrak,” katanya. – Kosmo

(Visited 5 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,