Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Hamidin akan berjumpa Philippe Troussier

PETALING JAYA – Pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee dan bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier menjadi calon utama dikaitkan untuk mengisi kekosongan Datuk K. Rajagobal sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya.

Malah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin turut mengakui, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Troussier selain tidak menolak kemungkinan memilih calon tempatan.

Sungguhpun Hamidin tidak menyatakan secara terus siapa calon yang bakal dipilih FAM namun kenyataan tersebut menguatkan spekulasi bahawa Kim Swee dan Troussier adalah tumpuan utama badan induk itu bagi menggantikan Rajagobal yang bakal tamat kontraknya hujung bulan ini.

Hamidin berkata, pihaknya kini bersikap terbuka dalam membuat pilihan sekiranya mendapati calon yang sesuai tidak kira jurulatih tempatan atau sebaliknya mampu mengalas tugas dengan baik.

Malah Hamidin turut memberitahu, calon yang akan dipilih adalah untuk jangka masa panjang dan bukannya sekadar ‘tangkap muat’.

“Kita belum membuat keputusan lagi siapa yang akan menjadi jurulatih Harimau Malaya bagi tahun depan dan calon yang ada masih lagi dalam penilaian.

“Malah kami sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan jurulatih sekiranya mendapati ia berbaloi untuk masa depan skuad kebangsaan,” katanya selepas majlis bersama skuad Harimau Muda A, di sini, semalam.

Philippe Troussier

Sebelum ini FAM dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih asing selain dikhabarkan semakin hampir menandatangani Troussier untuk melatih skuad kebangsaan pada tahun depan.

Selain pernah membimbing skuad Blue Samurai, Troussier,58, juga pernah membimbing skuad kebangsaan lain seperti Nigeria, Qatar dan Maghribi.

Troussier kini melatih kelab China, Shenzhen Ruby sejak 2011, selain pernah melatih kelab terkenal Perancis, Marseille.

Kim Swee, yang membawa Malaysia mempertahankan emas Sukan SEA di Indonesia diberi tugas sebagai jurulatih sementara.

Sementara itu, Hamidin berkata, siapa yang layak membimbing Harimau Malaya hanya akan diketahui, Januari depan.

“Segala keputusan berhubung jurulatih Harimau Malaya akan berjawab selepas Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selesai menilai setiap calon-calon yang bakal dilantik.

“Memang Troussier adalah antara calon. Yang pasti, FAM tidak terburu-buru dalam membuat pemilihan,” ujarnya lagi. – Utusan

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , , ,