Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Subahan tidak kisah, Cheng Hoe tertanya-tanya

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Subahan Kamal tidak kisah sekiranya khidmat beliau selaku pengurus pasukan negara turut senasib dengan Datuk K. Rajagobal yang tidak disambung kontraknya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas 31 Disember ini.

Katanya, soal sama ada jawatan itu akan kekal disandangnya lagi sekurang-kurangnya sehingga melawan Yemen, tahun depan mahupun diberikan kepada orang lain, terserah kepada budi bicara Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

“Jawatan pengurus pasukan negara ini hanya bersifat sukarela yang dilantik FAM, tidak seperti jurulatih yang bergaji dan berkontrak. Tugas saya itu pun sekadar berciri-ciri sosial dan apabila berkaitan majlis rasmi. Itu sahaja.

“Jika Tuanku Sultan berpendapat mahu melantik orang lain, terserahlah. Saya tiada masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam, mengulas mengenai jawatan yang disandangnya sejak 2009 itu.

Tan Cheng Hoe ketika bersama Raja

Kebiasaannya, jawatan pengurus pasukan negara dilantik daripada kalangan Naib Presiden FAM dengan Datuk Seri Afandi Hamzah kini turut menyandang pengurus pasukan Harimau Muda A yang menghadapi Sukan SEA Nay Pyi Taw, bulan depan.

Datuk Hamidin Mohd. Amin yang sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM, turut merupakan Naib Presiden persatuan merangkap pengurus pasukan yang mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta, Indonesia 2011.

Sementara itu penolong jurulatih negara, Tan Cheng Hoe ketika dihubungi berkata, beliau juga masih tertanya-tanya dengan kedudukannya selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM memutuskan tidak menyambung khidmat ketuanya, Rajagobal.

“Saya masih bercuti. Tiada apa-apa makluman daripada FAM pun mengenai jawatan saya sekarang. Kontrak saya pun berakhir 31 Disember ini.

“Siapa yang tidak sedih dengan keputusan FAM itu (kontrak Rajagobal). Orang lain boleh beri macam-macam alasan (kekalahan kami pada Kelayakan Piala Asia 2015) tetapi bukan senang berdepan saingan yang berbeza dari sebelumnya (Sukan SEA dan Piala Suzuki AFF),” katanya yang membantu Rajagobal sejak melatih skuad Bawah 19 Tahun Malaysia pada 2005, diikuti Bawah 20 dan 23 sebelum skuad utama negara.

Cheng Hoe mengakui, tiada mana-mana pasukan negeri atau kelab termasuk negeri kelahirannya, Kedah yang cuba merisik khidmatnya sekarang untuk menyertai barisan kejurulatihan mereka bagi menghadapi Liga Malaysia yang bermula, Januari depan.

“Saya rasa mereka pun sudah ada jurulatih masing-masing, mungkin selepas ini (kontrak dengan FAM berakhir), saya kerja tanam padi sahajalah di Kedah,” katanya secara berseloroh.

Beliau turut menyangkal andaian akan diserapkan sebagai penolong Datuk Ong Kim Swee yang kelmarin dilantik sebagai jurulatih sementara skuad negara di samping tugas tetapnya, ketua jurulatih Harimau Muda A.

“Dia pun sudah ada penolong jurulatih (Hassan Sazali Waras dan jurulatih penjaga gol, Yong Wai Hwang),” katanya.

Harimau Malaya wajib menewaskan Yemen dalam baki saingan Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015, 5 Mac ini sambil berharap pencapaian pasukan tempat ketiga empat kumpulan lain, lebih rendah daripadanya, untuk ke pusingan akhir di Australia. – Utusan

(Visited 3 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,