Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pemain perlu hormati kontrak – Hamidin

PETALING JAYA – Mana-mana pemain yang telah menurunkan tandatangan atas borang perjanjian C03/2 tidak boleh membuat pusingan ‘U’.

Ini kerana borang itu mempunyai persamaan seperti mana perjanjian kontrak asal dan bukan bertaraf perjanjian persefahaman (MoU).

Demikian penjelasan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, yang mengingatkan walaupun borang C03/02 adalah satu borang kontrak perjanjian sementara, namun apabila kontrak pemain berakhir dengan pasukan lama pada 30 November, mereka perlu bersama dengan pasukan baharu yang telah ditandatangani melalui borang C03/2 pada 1 Disember.

”Borang C03/2 dinamakan borang kontrak perjanjian sementara kerana seseorang pemain itu tidak boleh mempunyai dua kontrak dalam satu masa.

”Semua kontrak pemain akan berakhir pada 30 November ini, namun tiga bulan sebelum kontrak mereka berakhir dengan pasukan lama, mereka dibenarkan berbincang dengan pasukan baru dan jika mereka mahu menyertai mereka (pasukan baru) pada musim depan, mereka perlu menandatangani di borang C03/2.

”Borang ini sama seperti mana kontrak dan bukannya MoU selepas 30 November, barulah kontrak sebenar akan diberikan kepada para pemain.

”Sekiranya terdapat mana-mana pemain mahu membuat pusingan ‘U’ kepada pasukan lain atau pasukan asal, ia adalah salah kerana borang C03/2 mempunyai kekuatan seperti mana kontrak dan pasukan yang terbabit boleh mengemukakan aduan kepada FAM, pemain ini boleh balik kepada pasukan asal jika pasukan baru itu bersetuju untuk lepaskan,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM.

Penjelasan Hamidin jelas menjawab persoalan terhadap pertikaian antara Felda United dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai status dua pemain, Hairuddin Omar dan Norfazly Alias yang kini menjadi rebutan antara kedua-dua pasukan.

Mengikut penjelasan jurulatih Felda, Irfan Bakti, mereka berdua telah bersetuju mewakili Felda pada musim hadapan setelah menandatangani kontrak C 03/2 dan pihak mereka bertegas akan membawa isu itu kepada Jawatankuasa Status FAM jika kedua-dua pemain itu terus berdiam diri.

Sebaliknya, pengendali ATM, B. Sathianathan, mempertahankan Hairuddin dan Norfazly sambil memperjelaskan mereka berdua masih pemain ATM pada tahun depan kerana belum menurunkan apa-apa tandatangan pada borang C03/2.

Sementara itu, kedua-dua pemain terbabit mahu mengambil pendekatan mengunci mulut dan menyerahkan isu berkenaan untuk diselesaikan antara pihak pengurusan Felda dan ATM.

Pada masa sama, Hamidin mengingatkan walaupun ada syarat mengatakan pemain itu akan kekal bersama pasukan asal jika tidak memberi sebarang maklum balas terhadap tawaran sambungan kontrak dalam tempoh 14 hari sebelum kontrak berakhir, ia tetap bergantung sejauh mana pemain itu ada menerima tawaran terhadap pasukan lain.

”Saya yakin jika pemain itu tidak memberi jawapan terhadap surat tawaran yang dikemukakan sekali pun, pihak pengurusan pasukan lama pasti akan menerima surat pemberitahuan daripada pasukan baru yang dipersetujui oleh pemain terbabit untuk beraksi pada tahun hadapan.

”Jadi, saya rasa tidak timbul isu dalam perkara berkenaan kerana setiap tindakan daripada pemain pasti akan diketahui oleh majikan masing-masing,” katanya. – Utusan

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , , , ,