Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

MLM 2013: Gerak Tersingkir Pada Minggu Pertama

SHAH ALAM: Kumpulan Gerak tersingkir pada minggu pertama program realiti Maharaja Lawak Mega pada malam Jumaat berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Penyingkiran itu diumumkan oleh juri Datuk Yusof Haslam.

Gerak yang dianggotai oleh Nor Azhar Buyong, Che Mat dan Mohd Fadzil Mohd Nasir tewas setelah mendapat undian paling rendah dengan jumlah peratusan sebanyak 4.67 peratus.

“Kami tidak sangka pada minggu pertama sudah ada penyingkiran peserta. Walaupun tersingkir, kami telah memberikan persembahan yang terbaik.

“Kami turut menganggap ia sebagai perkara positif dengan melihat penyertaan pertandingan ini dapat membina nama masing-masing dalam industri seni tempatan,” kata Azhar selepas pertandingan tersebut.

Sepahtu membuat persembahan

Dua peserta lain yang mendapat peratusan terendah adalah kumpulan Tulang iaitu 5.6 peratus dan Wala (4.69 peratus).

Manakala kumpulan Sepahtu mendapat undian tertinggi iaitu 8.06 peratus.

Selain Sepahtu, Gerak, Tulang dan Wala, sebanyak 12 kumpulan menunjukkan kehebatan masing-masing beraksi pada pertandingan tersebut iaitu Jambu, Boboi, Shiro, Saywho, Comey, Nabil, Osama, Bocey, Kucai, Mamu, Zero dan SYJ.

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata secara keseluruhannya para peserta telah memberikan mutu persembahan yang memuaskan pada minggu pertama.

“Saya melihat persaingan pada minggu pertama ini sebagai proses pembelajaran dan pengalaman buat peserta.

“Jika dibandingkan dengan musim terdahulu, persembahan peserta kali ini nyata lebih bersedia dan ini dapat dilihat daripada respons yang baik daripada penonton di studio,” katanya yang ditemui selepas program tersebut.

Sementara itu, antara kumpulan yang berjaya menarik perhatian penonton ialah Osama, Boboi, Sepahtu, Shiro dan Jambu.

MLM 2013 turut mengumumkan barisan juri iaitu Datuk Yusof Haslam, Nora Danish, Luna Maya (Indonesia) dan Sheikh Haikal (Singapura).

Sistem penghakiman masih dikekalkan dengan format 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus daripada undian penonton.

Juara MLM 2013 bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 manakala tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang hadiah RM250,000 dan RM150,000. – mStar

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

,