Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Kim Swee sedia pikul tugas sementara

ong kim sweeCerita Datuk K. Rajagobal bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya menemui noktah sebaik badan induk persatuan itu telah mengesahkan bahawa mereka tidak akan melanjutkan kontraknya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Biarpun FAM enggan mendedahkan perkara sebenar mengapa mereka tidak melanjutkan perjanjian Rajagobal, keputusan itu difahamkan gara-gara beliau gagal memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan.

Ini kerana bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu diamanahkan untuk membawa skuad Harimau Malaya ke pentas Piala Asia 2015 di Australia.

Begitupun, Rajagobal yang bakal menyaksikan kontraknya tamat pada 31 Disember depan, gagal mengemudi skuad kebangsaan apabila sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 termasuk kekalahan 0-1 ketika menentang Qatar di Stadium Shah Alam, 19 November lalu.

Justeru, FAM mengumumkan jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee bakal mengambil alih sementara kerusi panas tersebut sebelum menamakan calon sebenar dalam tempoh terdekat.

Dalam masa yang sama, FAM turut mengesahkan telah melanjutkan kontrak pengendali kelahiran Melaka itu namun mengambil pendekatan kunci mulut ketika ditanya tempoh perjanjian berkenaan.

Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal memberitahu, pihaknya tetap memberikan perhargaan kepada Rajagobal meskipun tidak berniat untuk menyambung kontraknya.

Beliau berkata selepas diteliti, pihaknya sepakat menyambung kontrak Kim Swee selaku jurulatih Harimau Muda untuk tempoh yang akan ditentukan kemudian, namun nasib sebaliknya bagi Rajagobal.

Sebagai rekod, Rajagobal muncul sebagai jurulatih tempatan pertama berjaya menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010.

“FAM ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Rajagobal. Sepanjang lima tahun bersama kami, Rajagobal telah berjaya menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010.

“Saya percaya Rajagobal akan terus terlibat dalam dunia bola sepak berdasarkan pengalaman yang sedia ada.

“Berhubung pengganti Rajagobal, Kim Swee bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh beliau secara sementara,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tambah Subahan, FAM bakal mengambil masa sekurang-kurang dua bulan untuk menamakan jurulatih baharu skuad kebangsaan.

“Kita dalam proses memilih jurulatih baru, sama ada jurulatih import atau tempatan ia masih terlalu awal untuk diperkatakan. Maka selepas mendengar laporan itu, jawatankuasa sebulat suara setuju supaya tempoh kontrak Rajagobal tamat 31 Disember ini.

Jelasnya lagi, Kim Swee bakal mengambil alih skuad Harimau Malaya jika FAM masih gagal untuk mencari pengendali baharu sebelum aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 5 Mac tahun depan.

“Kami akan mencari pengganti baharu dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Jika masih tiada lagi calon yang sesuai, Kim Swee bakal mengemudi skuad kebangsaan untuk aksi menentang Yemen nanti,” katanya.

Ketika ditanya adakah Kim Swee bakal dikekalkan jawatan tersebut jika berjaya membimbing skuad Harimau Malaya, Subahan memberitahu: “Kami tidak bincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Exco FAM tadi tetapi kita tunggu dan lihat.”

Dalam perkembangan sama, Kim Swee kekal tenang dan mengakui bersedia untuk menggalas amanah yang diberikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuanku selaku Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengetuai skuad Harimau Malaya.

“Biarpun jawatan ini sementara, saya cukup serius dengan tugasan ini dan sudah tentu, saya mahu membantu skuad negara memburu kemenangan menjelang aksi pertemuan menentang Yemen pada Mac depan.

“Saya akui tugasan selaku jurulatih Harimau Malaya amat mencabar tetapi saya tetap teruja untuk membantu pasukan kebangsaan kita menikmati kejayaan di pentas antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Rajagobal yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai kontraknya tidak disambung FAM berkata: “Saya tengah bincang sesuatu. Boleh hubungi saya balik selepas ini.”

Begitupun, cubaan Kosmo! mendapatkan komen lanjut dari Rajagobal gagal.

“Ini cabaran baru kepada saya untuk mengendalikan pasukan di peringkat lebih tinggi.” Itu reaksi Ketua Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee atas pelantikannya sebagai pengendali sementara Harimau Malaya bagi menggantikan Datuk K Rajagobal yang tidak dilanjutkan kontrak yang berakhir 31 Disember ini.

Katanya, walaupun hanya bertanggungjawab untuk tempoh masa singkat, pemilihan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu satu langkah permulaan baru dalam kariernya sebagai jurulatih.

Langkah baru

“Terima kasih kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah kerana memberi kepercayaan terhadap saya untuk mengendalikan pasukan. Walaupun hanya seketika, ia pasti langkah baru kepada saya untuk mengharungi cabaran.

Pengendali berusia 42 tahun dari Melaka itu mengakui ia bukan tugas mudah biarpun hanya dilantik sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan tidak akan menyambung kontrak Datuk K Rajagobal yang berakhir 31 Disember ini.

“Saya mengakui tugas selaku jurulatih Harimau Malaya amat mencabar tapi saya tetap teruja untuk membantu pasukan kebangsaan menikmati kejayaan di pentas antarabangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,