Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

FAM tunggu jawapan AFC tentu nasib TSAM

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menjangkakan, keputusan sama ada sah atau sebaliknya Tan Sri Annuar Musa sebagai anggota Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara akan diketahui, minggu ini.

Menurutnya, segala keputusan akan dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) setelah melalui beberapa proses dan penelitian.

“Kami perlu tunggu hitam putih daripada AFC dahulu, mungkin dalam minggu ini atau dua tiga hari lagi memandangkan mereka sibuk.

“Jadi, kami akan maklumkan kepada media bagaimana hasil keputusan itu sejurus mendapat hitam putih daripada AFC,” katanya ketika ditemui di Rumah AFC di Bukit Jalil, semalam.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjelaskan, pelantikan Annuar tidak bercanggah dengan peraturan penggantungan yang dikenakan terhadap tokoh itu oleh FAM.

Kata Khairy, Annuar dilantik sebagai penasihat dan menjalankan tugas untuk memberi pandangan terhadap pelaksanaan yang diperlukan untuk program pembangunan bola sepak negara dan bukan melibatkan diri secara langsung dalam operasi sukan berkenaan.

Annuar sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden FAM dan digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sejak 4 April tahun lepas apabila didapati bersalah melanggar Artikel 88 dan hanya boleh kembali aktif, Oktober tahun depan.

Dalam pada itu, Hamidin menolak tanggapan beberapa pihak yang mengatakan FAM cuba memboikot Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara setelah tidak menghadiri mesyuarat bersama mereka.

“Kami bukan boikot, tapi kami mempunyai hal lain dan tidak boleh lari daripada badan induk lain seperti AFC dan FIFA.

“Presiden FAM juga ada menyebut, mana-mana pihak yang mahu memajukan bola sepak atau bersama kita terutama kerajaan, sudah tentu kita akan menyokong.

“Perkara ini sebenarnya saya telah maklumkan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong dengan kadar segera,” katanya.

TSAM rela undur diri

“Kalau pelantikan saya ini menyebabkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) tidak mahu bekerjasama dengan jawatankuasa ini jadi saya secara sukarela berundur,” kata Tan Sri Annuar Musa yang tidak mahu kemelut pelantikannya sebagai anggota Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara berpanjangan.

Pendirian Timbalan Presiden FAM itu yang kini masih menjalani hukuman penggantungan 30 bulan kerana melanggar Artikel 88 FAM disuarakan selepas menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam.

Isu pelantikan Annuar itu dipersoalkan memandangkan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu dilarang menyertai sebarang aktiviti bola sepak sehingga Oktober tahun depan dan FAM bersedia merujuk kes itu kepada AFC dan FIFA biarpun dari pihak Kementerian Belia dan Sukan ia tidak menyalahi peraturan.

“Saya dilantik atas kapasiti sebagai ahli parlimen, bukan atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden yang digantung atau Presiden KAFA. Dalam parlimen isu bola sepak juga dibangkitkan, kami tak boleh lari.

Ini jawatankuasa yang membuat dasar, saya cadangkan kertas (pelan pembangunan bola sepak negara) ini harus dibawa ke parlimen. Sama ada itu diambil kira sebagai aktiviti bola sepak oleh FAM atau FAM “over sensitive” sampai melihat di luar skop, itu adalah pendirian FAM.

“Kalau boleh kita ketepikan soal sentimen peribadi dan tumpu kepada program pembangunan tapi kalau pelantikan saya menyebabkan kerajaan dan FAM tidak boleh bekerja, biar saya undur supaya program ini tidak terbantut,” kata Annuar.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,