Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

FAM tentukan nasib Rajagobal Ahad ini

Kuala Lumpur: Masa sudah tiba buat jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal untuk berundur selepas kegagalan Harimau Malaya layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Jika sebelum ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih mahu memberikan ‘talian hayat’ kepada pengendali negara itu untuk menghabiskan misi itu namun kekalahan kepada Qatar pada aksi kedua terakhir kumpulan D yang meranapkan impian negara seharusnya membuatkan FAM membuka mata.

Bukan hanya keputusan dalam kempen Piala Asia saja yang harus diambil kira namun prestasi sepanjang tahun skuad kebangsaan bagi 2013 amat mengecewakan apabila hanya menang dua dalam 19 perlawanan.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengaku badan induk itu tidak berminat untuk menyambung kontrak Rajagobal yang bakal berakhir 31 Disember ini.

Bagaimanapun perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Exco FAM Ahad ini termasuk sama ada membenarkan Rajagobal terus membimbing skuad kebangsaan bagi aksi terakhir kumpulan menentang Yaman pada Mac tahun depan.

Sekalipun tampak kecenderungan khidmatnya tidak dilanjutkan selepas 31 Disember ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menganggap, terlalu awal untuk membuat kesimpulan sebelum mesyuarat itu.

“Biarlah Tuanku Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) yang akan mempengerusikan mesyuarat Exco itu, memutuskan sama ada hendak melanjutkan khidmatnya atau sebaliknya.

“Namun pada dasarnya, kontrak Datuk Rajagobal dengan FAM memang berakhir 31 Disember, malah satu klausa untuk beliau merundingkan semula khidmatnya sebulan sebelum tarikh itu, masih terpakai,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Hamidin turut menolak untuk mengulas walaupun hanya mengenai kekalahan perlawanan Kumpulan D di Stadium Shah Alam itu yang semakin memalapkan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia, buat kali pertama sejak 1980.

Namun, beliau mengakui peluang ‘Safiq Rahim dan rakan-rakan’ ke Australia begitu tipis dengan baki satu perlawanan yang wajib dimenangi di Yemen pada 5 Mac 2014 sambil berharapkan keputusan empat pasukan tempat ketiga Kumpulan A, B, C dan E, lebih rendah daripada mereka.

“Ada baki satu perlawanan tahun depan, namun apa-apa kemungkinan pun (berhubung kedudukan ketua jurulatih negara) masih perlu diperhalusi dalam mesyuarat Exco,” katanya.

Jelasnya, kedudukan Rajagobal dan KPI (Indeks Utama Prestasi) pasukannya iaitu layak ke Piala Asia telah dibincangkan sejak awal tahun ini lagi oleh Jawatankuasa Teknikal FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden persatuan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Justeru Hamidin menolak sebarang keperluan untuk menyaring kedudukan jurulatih itu secara berperingkat-peringkat menerusi jawatankuasa itu mahupun Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum diketengahkan kepada Exco.

Sementara itu BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Ali menggesa jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan selepas menyaksikan skuad negara gagal untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

Khalid menegaskan, ia adalah masa terbaik buat Rajagobal berundur, lebih-lebih lagi beliau gagal menepati Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jelasnya lagi, beliau percaya bahawa khidmat bekas jurulatih Selangor dan Kelantan yang muncul sebagai individu utama bertanggungjawab di atas kegagalan tersebut, sudah tidak lagi relevan.

Katanya, beliau yakin FAM sudah boleh menilai kemampuan sebenar Rajagobal berdasarkan persembahan hambar skuad negara dalam beberapa perlawanan persahabatan mahu pun kejohanan kompetitif.

“Saya fikir tak payah kekalkan Rajagobal. Kekalahan skuad negara ini berpunca daripada jurulatih.

“Saranan saya, lebih baik beliau menarik diri secara terhormat dan bagi jurulatih lain pula mengambil alih tugas melatih skuad kebangsaan.

“Dulu, beliau pernah berkata jika gagal bantu Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015, beliau sendiri mengakui bersedia untuk melepaskan jawatannya.

“Kini, saya harap Rajagobal kotakan janji itu dahulu dan sudah tiba masanya kita perlukan sentuhan daripada jurulatih yang berwibawa,” katanya , semalam.

“Seluruh peminat bola sepak dan rakyat Malaysia ada menonton perlawanan itu semalam (kelmarin) dan rasanya saya tidak perlu ulas lanjut,” komen Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Beliau berkata, mereka yang menonton sama ada di Stadium Shah Alam atau televisyen dapat membuat penilaian sendiri aksi skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal ketika menentang Qatar pada perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 itu.

“Kalau saya ulas nanti, saya pula diminta bermain semula. Susahlah,” katanya dengan nada sindiran selepas majlis pengumuman TV3 sebagai Rakan Penyiar Sukan SEA ke-27 di Sri Pentas, semalam.

Sebelum ini, kenyataan Zolkples yang mendakwa sudah menduga kekalahan Harimau Malaya 1-0 kepada Bahrain pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional Manama, Jumaat lalu, dibidas penyerang kebangsaan, Safee Sali.

Safee menyifatkan kenyataan Zolkples sebagai tidak memberi sokongan moral kepada pasukan kebangsaan selepas tewas pada perlawanan itu.

Ditanya kedudukan Rajagobal bersama skuad kebangsaan akan berakhir pada 31 Disember ini, Zolkples berkata, biarlah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku majikan untuk menentukan masa depan jurulatih itu.

(Visited 2 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , , , ,