Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Piala Malaysia: Kelantan bawa pulang bekalan selesa

SELAYANG – Pentas akhir Piala Malaysia semakin menggamit juara bertahan, Kelantan, apabila meraih bekalan yang cukup berharga untuk dibawa ke Kota Bharu melalui kemenangan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua watak penting yang membawa kemenangan The Red Warriors adalah Mohd. Badhri Mohd. Radzi yang menjaringkan gol pertama pada minit ke-12 sebelum jaringan kemenangan dicipta Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-78.

Christie Jayaseelan menjaringkan gol sagu hati buat ATM pada minit ke-19 yang sekadar gol penyamaan sementara namun itu masih belum cukup untuk memberikan Kelantan satu kelebihan selesa dengan dua gol di tempat lawan.

Kemenangan tersebut boleh dianggap sebagai bekalan selesa bagi menghadapi separuh akhir kedua di Kota Bharu minggu depan.

Jika tidak kerana kecekapan penjaga gol ATM, Farizal Harun, skuad kendalian B. Sathianathan pasti kalah dengan keputusan yang lebih teruk ketika barisan pertahanan yang diketuai Shukor Adan begitu sukar mengawal kekuatan fizikal yang ada pada penyerang import Kelantan, Dickson Nwakaeme.

Selain itu, faktor keletihan dialami oleh kebanyakan pemain ATM yang berusia 30an ke atas bijak diambil kesempatan oleh pasukan pelawat pada 20 minit terakhir permainan dengan melancarkan serangan pantas bertali arus selain kecederaan yang menimpa Norfazly Alias.

Seperti diramal, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik sahaja perlawanan bermula.

Pemain pertahanan ATM, K. Reuben terlebih dahulu menguji pintu gol Kelantan namun percubaannya pada minit ke-12 sedikit tersasar.

Pada minit ke-14, ATM sekali lagi melancarkan serangan pantas daripada sebelah kanan pintu gol Kelantan menerusi larian Mohd. Fitri Omar yang terus membuat percubaan tepat ke dakapan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan menggamatkan suasana di Selayang terlebih dahulu apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-12 melalui pemain pujaan The Red Warriors, Badhri Radzi. Badhri atau lebih popular dengan nama jolokan Piya meledak melalui rembatan jarak jauh dari luar kotak selepas melakukan tindakan susulan percubaan Nor Farhan Muhammad.

The Gladiators tidak menunggu masa terlalu lama memadamkan kelebihan pelawat apabila Christie dalam situasi yang tidak diduga bijak menghukum kealpaan pertahanan Kelantan, enam minit kemudian.

Fitri Omar yang sebelum itu gagal melunaskan peluang keemasan pada minit kesembilan, sekali lagi menghampakan rakan-rakan sepasukan apabila bola sepakannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Kelantan pada minit ke-51.

Pada minit ke-71, Kelantan seharusnya boleh kembali berada di hadapan namun K. Reuben menjadi penyelamat ATM apabila dapat mengeluarkan bola di atas garisan gol hasil percubaan Nor Farhan.

Bagaimanapun, Nor Farhan menebus kembali kehampaannya pada minit ke-78 selepas berseorangan di dalam kotak penalti dan mudah menewaskan Farizal yang tidak dapat berbuat apa-apa.

Jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata, kehilangan Amiridzwan Taj yang digantung perlawanan serta Irwan Fadli Idrus yang terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan telah memberi kesan kepada benteng pertahanan pasukannya.

“Saya sangat terasa ketiadaan dua tonggak itu (Amiridzwan dan Irwan). Tetapi, secara keseluruhan kami telah menampilkan aksi yang terbaik dan saya yakin kami akan bangkit di Kota Bharu nanti,” kata Sathianathan.

Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak pula berkata, kemenangan itu belum memberi jaminan kepada mereka untuk melangkah lebih jauh kerana masih banyak kelemahan yang dikenal pasti pada aksi malam tadi.

“Bagi saya kemenangan 2-1 tidak boleh dianggap selesa kerana ATM pasti akan bangkit pada perlawanan kedua di Kota Bharu nanti.

“Saya puji barisan pertahanan yang beraksi cemerlang malam ini (malam tadi) dan jika kami mengekalkan kecemerlangan ini, tidak mustahil kita akan layak ke final,” katanya.

Highlights

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,