Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Kelantan atau ATM ke final Piala Malaysia?

Kota Bharu: Kelantan menjanjikan aksi berkualiti apabila melayan kunjungan ATM di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini bagi mengesahkan tempat di perlawanan akhir Piala Malaysia.

Kapten Mohd Badhri Radzi atau Piya menyifatkan pertemuan The Red Warriors (TRW) dengan Gladiators itu sebagai perlawanan tumpuan dan tegang.

“Kita akan beraksi pada tahap terbaik kerana ramai yang beranggapan pertemuan ini sengit. Pada aksi pertama, kami saling berbalas jaringan.

“Tapi malam esok (malam ini), saya tidak mahu gawang dibolosi.

“Sesiapa saja boleh menjaringkan gol dan kami mengharapkan kemenangan untuk melangkah ke final sekali lagi musim ini,” katanya.

Pengendali Kelantan, Bojan Hodak tidak akan terpengaruh dengan perang saraf Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang positif mampu bangkit pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Hodak sebaliknya mahu pemainnya memberi tumpuan penuh bagi memastikan Kelantan mara ke pentas akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Justeru, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik bagi menyekat kebangkitan ATM.

“Di sini bukan lagi kedudukan 50-50 (untuk menang) kerana kami mempunyai sokongan yang kuat dan segala-galanya disebabkan Kota Bharu adalah gelanggang kami, tetapi saya ingin tegaskan sebaik sahaja wisel dibunyikan, kami akan menyerang habis-habisan.

“Semua pemain kini berada pada tahap terbaik dan bebas daripada kecederaan. Keadaan tersebut memudahkan tugas saya membuat perancangan terbaik bagi menghadapi tentangan ATM,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Hodak berkata, meskipun mempunyai kelebihan dua gol, pasukannya tetap turun dengan misi memburu gol awal.

Katanya, jaringan awal amat penting buat Red Warriors untuk menyekat sebarang kebangkitan ATM.

“Selain memburu tiket akhir, kami mahu melunaskan ‘hutang’ selepas Kelantan dimalukan dengan kekalahan kepada ATM pada aksi liga April lalu. Saya tidak mahu peristiwa 13 April itu berulang malam esok (ini).

“Sudah pasti perlawanan ini akan berbeza, terutama apabila kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan untuk ke final,” ujarnya.

Hodak bagaimanapun tetap menghormati ATM dan mahu pemainnya berwaspada dengan taktikal yang bakal digunakan pihak lawan pada perlawanan tersebut.

Sementara itu, skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) belum mahu menyerah meskipun tewas 1-2 kepada Kelantan pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2013 di Stadium majlis Perbandaran Selayang minggu lalu.

Mereka akan meneruskan perjuangan apabila membuat perhitungan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Jurulatih ATM, B. Sathianathan berkata, beliau sedar bakal menghadapi misi terpenting dalam sejarahnya sepanjang membimbing pasukan The Gladiators bagi memastikan perjuangan ATM dalam kempen Piala Malaysia terus berkibar.

Itu kerana, pasukan kendaliannya, ATM sedang ketinggalan dengan agregat 1-2 kepada tuan rumah, Kelantan dan mereka perlu menang jika berhasrat layak sekali lagi ke final kali ini.

Dalam masa yang sama beliau juga mahu memastikan para penonton yang hadir ke stadium itu malam ini terhibur dengan aksi berkualiti antara kedua-dua pasukan.

“Saya sedar para penyokong tegar Kelantan sangat sukakan permainan berkualiti bukan sahaja oleh pasukan mereka malah buat pasukan pelawat juga.

“Dalam masa yang sama, anak-anak buah saya juga sudah tahu apa yang perlu mereka lakukan dalam perlawanan itu dan saya tidak mahu terlalu menekan mereka untuk memperoleh kemenangan.

“Dengan hanya menuntut aksi yang sempurna dan terbaik, saya rasa ia akan disusuli dengan kejayaan berpihak kepada kami,” kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Sathianathan berkata, beliau turut mengingatkan para pemainnya agar tidak melepaskan gol terlalu awal kepada lawan kerana itu akan ‘membunuh’ semangat juang pasukannya.

Jelasnya, apa yang penting, The Gladiators perlu bermain seperti biasa dengan mengamalkan corak menyerang dan seboleh-bolehnya mencari gol awal untuk menyamakan kedudukan agregat.

“Saya melihat motivasi anak-anak buah saya berada pada tahap terbaik dan mereka sudah tidak sabar untuk turun beraksi.

“Saya juga percaya, para penyokong Kelantan akan menyambut kehadiran kami dengan baik dan para pemain saya juga cukup berpengalaman untuk beraksi dalam keadaan getir seperti ini.

“Apa yang penting, kami hanya perlu turun dengan keazaman yang tinggi dan saya tidak menolak kemungkinan akan ada sedikit rombakan di benteng pertahanan kami namun ia hanya akan diputuskan beberapa minit sebelum sepak mula.

“Ketinggalan 1-2 bagi saya tidak terlalu sukar dan jika kami tidak mengulangi kelalaian seperti aksi pertama lalu tidak mustahil akan ada kejutan di Kota Bharu nanti,” ujarnya optimis.

Link livestream di sini

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,