Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Harimau Malaya bertemu China September ini

Bukit Jalil: Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi perlawanan antarabangsa berstatus A pertama dalam tempoh lebih lima bulan selepas China setuju melayan kunjungan anak buah Datuk K Rajagobal itu pada 10 September.

Ia hasil tindakan pantas sekretariat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mendengar desakan pelbagai pihak yang mahukan skuad kebangsaan mengadakan perlawanan berstatus A untuk memperbaiki ranking negara yang kini jatuh ke tangga ke-159 dunia.

Kali terakhir skuad kebangsaan beraksi dalam perlawanan berstatus A ketika menang 2-1 ke atas Yaman pada pusingan kelayakan Piala Asia 2014, 22 Mac lalu dan selepas itu Rajagobal lebih berminat mengadakan perlawanan dengan kelab termasuk membatalkan dua aksi timbal balik menentang Singapura, Jun lalu.

Malah kerana mahu melakukan eksperimen ke atas pasukannya, Rajagobal sanggup mengorbankan perlawanan antarabangsa berstatus A menentang Palestin pada 26 Mac lalu dengan menukarkannya kepada perlawanan persahabatan biasa kerana membuat pertukaran lebih daripada enam pemain dalam perlawanan itu.

HAMIDIN (kanan) bertindak cepat mengadakan perlawanan berstatus A.

Hamidin berkata, kira-kira tiga minggu lalu, beliau telah menubuhkan satu sekretariat khas bagi mengkaji aksi perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad negara selepas ini.

Sekretariat itu bertanggungjawab mendapatkan aksi perlawanan bertaraf kelas A serta hanya bermain dengan pasukan kebangsaan menjelang 2014.

“Hasil kerja keras pihak sekretariat tersebut, kami telah berjaya menempah satu aksi persahabatan dengan pasukan kebangsaan China pada 10 September depan.

“Lebih manis, segala perbelanjaan untuk aksi tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak China. Bagaimanapun, saya masih meneliti pasukan yang sesuai untuk satu lagi tarikh pada 6 September yang masih lagi kosong.

“Kami sudah mula bergerak (mencari aksi-aksi kelas A) sejak beberapa minggu lalu dan ini adalah hasil pertama kami,” kata Hamidin dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk tidak menyediakan aksi persahabatan dengan pasukan bertaraf kelab bermula pada tahun 2014.

Hamidin berkata, ia diibarat sebagai langkah permulaan dalam usaha pihaknya memperbaiki rangking pasukan Harimau Malaya yang merudum di tangga ke-159 dunia ketika ini.

“Pihak media, peminat-peminat bola sepak negara serta penyokong ingin melihat pasukan negara beraksi dalam perlawanan persahabatan kelas A.

“Justeru, saya bersama ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal dan pengurus, Datuk Seri Subahan Kamal telah duduk berbincang secara serius mengenai perkara ini.

“Sasaran pertama saya adalah untuk mengisi sembilan tarikh dalam kalendar FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) pada 2014 bagi bertemu dengan pasukan kebangsaan lain serta aksi kelas A.

“Namun, perkara ini belum dapat saya sahkan lagi kerana saya hanya akan mendapat maklum balas mengenai permohonan itu dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi,” ujar Hamidin semalam.

Sementara itu, Hamidin turut mengulas kenyataan Subahan beberapa hari lepas yang menyasarkan skuad Harimau Malaya untuk menghuni tangga bawah 100 sebelum 2016.

“Pada saya, pendapat beliau (Subahan) itu adalah sesuatu yang positif dan kami perlu bergerak ke arah itu.

“Itu merupakan pendapat peribadinya namun perkara itu berjaya dicapai atau tidak bergantung kepada sejauh mana usaha kita ke arah perkara tersebut,” kata Hamidin lagi.

(Visited 3 times, 1 visits today)

Comments

comments

, , ,