Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

‘Tak halal duit denda’ – Shahidan

Arau: Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyokong tindakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai mutu pengadilan Liga M turut menekankan beliau tidak akan menghalalkan wang denda yang terpaksa dibayarnya kerana menganggap hukuman dijatuhkan badan induk itu ke atasnya ‘sangat zalim’.

“Saya langsung tidak dipanggil bagi siasatan ke atas saya, sebaliknya terus dihukum kerana membuat kenyataan meminta bantuan kewangan daripada FAM selain memohon badan induk itu menyelesaikan masalah bookie.

“Apa yang dilakukan ke atas saya amat kejam dan saya berdoa agar azab dikenakan kepada mereka yang bertindak zalim dan akan mengadakan sembahyang hajat agar tiada lagi kezaliman berlaku dalam FAM,” katanya.

Shahidan sekali lagi menekankan beliau secara jujur menyokong Presiden FAM Sultan Ahmad Shah namun tetap dikenakan tindakan gantung dan denda.

Justeru, beliau menyokong tindakan Tunku Ismail kerana apa yang diperkatakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu menjadi bukti jelas, FAM memang berada dalam keadaan amat teruk. Kelmarin, Tunku Ismail yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ) meluahkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan saingan Liga M yang disifatkannya masih berada di tahap amatur ketika bola sepak Malaysia sudah lama di era profesional.

“Saya akan menyokong mana-mana pihak yang berani memberikan cadangan serta teguran kepada FAM kerana ia menunjukkan mereka mahukan kebaikan demi industri bola sepak negara.

“Siapa ‘tabuh’ (kecam) FAM, saya sokong dan kecaman TMJ itu menunjukkan beliau seorang pejuang dan perlu berada dalam FAM.” Menurutnya, Tunku Ismail antara individu yang dilihat layak menerajui FAM dan berharap beliau tidak dikenakan tindakan disiplin seperti yang diterimanya, kelmarin, kerana menegur badan induk berkenaan.

Shahidan hilang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kerana digantung dua setengah tahun dan denda RM39,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati bersalah melanggar Artikel 88.

Beliau tidak boleh menyertai sebarang aktiviti bola sepak peringkat kebangsaan dan negeri selama tempoh hukuman itu berkuat kuasa selepas surat hukuman dihantar dalam tempoh 14 hari.

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,