Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Shahidan letak dua jawatan dalam FAM

Kangar: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim meletak jawatan dalam dua jawatankuasa kecil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas menerima surat pertuduhan daripada badan induk itu, semalam.

Surat mengandungi tiga pertuduhan mengikut Artikel 88 Statut FAM itu ditandatangani Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Shahidan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) ketika ditemui mengakui menerima surat pertuduhan terbabit dan tidak akan menjawabnya.

“Memandangkan FAM tidak boleh ditegur, saya putuskan untuk lepaskan jawatan saya sebagai Ahli Jawatankuasa Kewangan (AJK) FAM dan AJK Bola Sepak Wanita FAM.

Sudah hantar kepada FAM

“Saya sudah tandatangani surat peletakan kedua-dua jawatan itu sebaik tiba dari Gaza kelmarin dan ia sudah dihantar kepada FAM pagi tadi (semalam).

“Selain dua jawatan itu, saya bercadang untuk melepaskan jawatan Presiden PFA selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Jawatan itu akan saya serahkan kepada Menteri Besar Perlis,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, beliau berdepan tindakan amaran keras, denda maksimum RM50,000 serta hukuman lain ditentukan Jawatankuasa Tatatertib mengikut Kod Tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal pentadbiran FAM tanpa kebenaran mengikut Artikel 88 Status FAM.

Untuk pertuduhan kedua, beliau berdepan tindakan gantung keahlian minimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 susulan penyiaran artikel sama dengan mempunyai niat menghina atau mengaibkan, menjatuhkan atau mencemar imej mana-mana pegawai FAM.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Shahidan melalui artikel sama dituduh membuat kenyataan bercanggah, mempertikaikan, mempersoalkan, atau fakta yang diberikan tidak tepat atau bercanggah atau salah dengan mana-mana keputusan badan persatuan mengikut Artikel 20 Statut FAM 2010-2014.

Bagi pertuduhan ini beliau berdepan hukuman gantung keahlian enam bulan dan denda RM8,000.

Surat berkenaan turut menyatakan Shahidan diberi tempoh sehingga jam 12 tengah hari 8 Februari ini untuk memberi maklum balas.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,