Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

‘Saya ada bukti kes rasuah Liga M’ – Shahidan

Kangar: Belum masanya lagi bawa masalah bookie kepada Fifa, walaupun PFA (Persatuan Bola Sepak Perlis) ada bukti cukup membuktikan wujudnya gejala itu dalam kancah bola sepak Malaysia.

Demikian kata Datuk Seri Shahidan Kassim selepas ditanya mengenai tindakannya selepas dihukum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) awal minggu lalu.

Katanya, beliau masih meneliti keperluan mendedahkan perkara berkenaan kepada media walaupun sudah beberapa kali menghantar laporan kepada FAM mengenai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Harian Metro sebelum ini melaporkan beberapa kes rasuah melibatkan pemain Perlis dilaporkan serta disiasat pihak SPRM sejak tahun lalu sebelum disusuli beberapa lagi kes yang sama memebabitkan pemain lain disiasat suruhanjaya berkenaan awal tahun ini.

Difahamkan, pihak SPRM sejak hujung tahun lalu dan awal tahun ini juga sudah beberapa kali berhubung dengan pihak PFA berkenaan kenyataan pengakuan beberapa pemain yang disiasat dalam kes berkenaan.

“Ini isu besar kerana liga kita bakal terjejas dan saya masih belum mahu membuat pendedahan ini dan menunggu masa yang sesuai bagi melakukannya, malah wartawan juga akan terkejut mengenai perkara ini dan mereka perlu tunggu tindakan saya seterusnya.

“Saya tidak akan mendedahkannya atas beberapa faktor lain namun saya akan melakukannya sedikit masa lagi,” katanya.

Menurutnya, beliau juga terkilan dengan kenyataan FAM berhubung tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan disiasat berbeza dengan tindakan yang dikenakan ke atas dirinya.

“FAM mengambil langkah menyiasat terlebih dahulu ke atas kenyataan beliau (Tunku Ismail) berbeza dengan apa yang berlaku kepadanya yang terus dikenakan hukuman.

“Saya langsung tidak dipanggil mengadap badan disiplin berkenaan bagi mempertahankan diri saya namun terus dikenakan hukuman gantung dan denda tanpa boleh membuat sebarang rayuan,” katanya.

Shahidan berkata, FAM tidak berlaku adil dalam soal menjatuhkan hukuman serta melakukan siasatan dan sememangnya kini dibenci peminat bola sepak Malaysia.

“Berikutan insiden yang berlaku pada pertengahan babak kedua perlawanan antara Felda United dengan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tadi (kelmarin) apabila seorang polis bantuan terpaksa bertindak menurunkan kain rentang yang tertera “Kami mahu pengadil bijaksana” sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Johor DT.

“Protes penyokong ini pastinya tanda sokongan kepada kenyataan Tunku Ismail yang mempertikaikan mutu pengadilan Liga M baru-baru ini,” katanya.

Menurutnya, beliau akan lihat bagaimana badan induk berkenaan mengambil tindakan berhubung perkara itu adakah Tunku Ismail akan menerima nasib serupa sepertinya dengan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atau tidak dikenakan hukuman.

“Ini penting bagi menentukan samada FAM adalah badan yang tidak mengamalkan ‘double standard’ (pilih kasih) seperti kesungguhan Setiausaha Agungnya Datuk Azzuddin Ahmad dalam kenyataan media sebelum ini kerana semua peminat serta rakyat negara ini sedang menumpukan perhatian kepada tindakan yang akan diambil mereka.

“Jika saya dikenakan hukuman walaupun secara terang-terangan menyokong kepimpinan FAM, inikan tindakan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan mutu pengadilan yang secara langsung menempelak badan induk itu,” katanya.

(Visited 4 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,