Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

FAM meloyakan! – Shahidan

Kangar: “FAM satu entiti yang meloyakan. Saya sudah tidak tahu nak buat apa lagi demi kebaikan badan induk itu. Walaupun menyokong kepimpinan sedia ada, saya tetap dihukum,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim sejurus ditanya mengenai penggantungan dua tahun enam bulan serta denda RM39,000 yang dijatuhkan ke atasnya oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Katanya, FAM bukan lagi tempat berpersatuan bagi kebaikan bola sepak Malaysia tapi lebih sebagai gelanggang untuk menjatuhkan hukuman serta denda.

“Sekarang siapa yang tidak mahu dikenakan tindakan tidak perlu menyokong FAM, sekiranya sokong, mereka bakal didenda.

“Saya yang hanya menyatakan sokongan digantung, malah tidak cukup dengan itu, saya turut didenda puluhan ribu ringgit.

“Bagi saya, buat apa berpersatuan jika tidak boleh memohon pertolongan. Malah lebih teruk, meminta pertolongan itu dianggap sebagai kesalahan. Jika tidak boleh memohon pertolongan atau memberi cadangan demi kebaikan, lebih baik jangan berpersatuan.

“Sekarang di mana tempat persatuan negeri hendak bergantung harap jika semua permintaan serta cadangan tidak diendahkan, sebaliknya dikenakan tindakan.” katanya.

Shahidan berkata, beliau akan kembali ke dalam FAM selepas tempoh pergantungannya tamat dan ketika itu beliau berharap tidak mahu lagi melihat muka-muka yang kini berada di FAM.

“Saya tahu tidak boleh berbuat apa-apa selain mengikut saja tindakan dilakukan mereka yang berkuasa. Pesanan saya kepada semua individu di luar ialah jangan sertai persatuan bola sepak kerana mereka mungkin dikenakan tindakan keras sekiranya menyokong kepimpinan ataupun memohon bantuan.” Menurutnya, kewangan PFA juga pasti terdesak selepas ketiadaan beliau dalam persatuan itu.

“Untuk makluman semua, saya kini menjaga semua soal kewangan PFA dan kesemua gaji pemain serta pegawai dikeluarkan dari poket saya sendiri.

“Jika saya tidak lagi boleh terbabit dengan entiti bola sepak, bagaimana nasib PFA? Saya harap FAM boleh melakukan sesuatu bagi membantu PFA, termasuk membantu membayar gaji pemain saya.”

Menurutnya, soal gejala rasuah serta bookie juga belum diselesaikan FAM dan badan induk itu hanya tahu mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang menyokong dan memohon bantuan.

Sehubungan itu, beliau berkata akan meminta nasihat Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengenai cara untuk meneliti semula hukuman dijatuhkan ke atasnya.

“Memandangkan Annuar pernah mengalami nasib sama, saya rasa beliau pasti mempunyai nasihat bagaimana saya harus menangani isu ini.”

(Visited 1 times, 1 visits today)

Comments

comments

, ,